Translate

Thursday, October 7, 2010

Gadis lari selepas dimarahi bapa

IPOH - Seorang pelajar perempuan Nur Hafizah Mohd. Latafi, 17, (gambar) hilang sejak sembilan hari lalu dipercayai merajuk selepas dimarahi bapanya kerana ponteng kelas tuisyen.

Menurut bapanya, Mohd. Latafi Yeop, 58, dia menyedari kehilangan anak perempuannya itu sewaktu menjemputnya pulang dari sekolah pada 28 September lalu.

"Seperti biasa saya menunggu Nur Hafizah di luar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampang di sini setelah tamat sesi persekolahan.

"Namun Nur Hafizah tidak muncul-muncul hingga lewat petang. Saya diberitahu oleh pihak sekolah bahawa anak saya tidak masuk kelas pada hari itu walaupun saya menghantarnya ke sekolah pada awal pagi," katanya ketika hadir di pejabat Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Latafi dari Taman Rapat Damai di sini berkata, pada hari kejadian, Nur Hafizah yang juga seorang pengawas sekolah memakai baju-T putih dan seluar sukan hitam.

Beliau mengakui sehari sebelum kehilangan Nur Hafizah, dia telah memarahi anaknya itu kerana ponteng kelas tuisyen dan menghabiskan masa bersama kawan-kawan di sebuah restoran di Pekan Razaki di sini.

"Dia merajuk dan berkurung di dalam bilik tidur semalaman. Kami risau keselamatannya, lagipun tak lama lagi dia akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia," katanya.

Ujarnya, laporan mengenai kehilangan anak bongsu daripada empat beradik itu telah dibuat di Balai Polis Sungai Rapat di sini pada 29 September lalu.

"Saya merayu agar dia pulang segera dan sesiapa yang mempunyai maklumat supaya menghubungi saya di talian 012-5834275," katanya.

No comments:

Post a Comment