Translate

Wednesday, October 20, 2010

Pelajar cemerlang UTP minat tarian

SERI ISKANDAR - Minat yang mendalam dalam seni tarian tidak menghalang Mohamad Iskandar Mahbob, 23, untuk cemerlang dalam pelajaran sehingga menerima Anugerah Canselor Perak pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Petronas ( UTP ) di sini semalam.

Bekas penari Kumpulan Kesenian UTP itu mendapat pengiktirafan tersebut selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Kepujian Kelas Pertama.

"Memang saya banyak memberi tumpuan kepada seni tarian malah kumpulan tarian UTP pimpinan saya pernah memenangi pertandingan Festival Tari Tun Dr. Siti Hasmah pada tahun 2009 dan 2010 serta Festival Colours of the World 2010.

"Bagaimanapun, pelajaran tidak pernah diabaikan. Alhamdulillah saya memperoleh Sijil Dekan sepanjang lapan semester pengajian," katanya.

Mohamad Iskandar berkata demikian selepas menerima anugerah tersebut daripada Pro-Canselor UTP , Datuk Shamsul Azhar Abbas.

Mohamad Iskandar berkata, beliau akan melaporkan diri sebagai Jurutera Telaga di Petronas Carigali Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur pada 1 November ini.

"Walaupun sudah bekerja saya akan tetap menari secara sambilan," katanya.

Anugerah Canselor Emas pula menjadi milik M. Vignesh Kumar, 22, yang menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia Kelas Pertama dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.98.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Sistem Maklumat Perniagaan Kelas Pertama, Nur Iliana Ahmad Kamaruddin, 23, pula dinobatkan penerima Anugerah Canselor Gangsa.

No comments:

Post a Comment