Translate

Friday, October 8, 2010

Bot nelayan dilanggar kapal tangki


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SITIAWAN – Dua nelayan mati manakala empat lagi hilang selepas bot yang mereka naiki terbalik akibat dilanggar sebuah kapal tangki minyak di Selat Melaka di lokasi 10 batu nautika dari Kuala Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, Selangor semalam.

Semasa kejadian pada pukul 3.40 pagi, 10 lagi nelayan termasuk lapan warga Thailand yang turut berada di dalam bot itu selamat selepas mereka sempat berpaut pada bot itu selama kira-kira tujuh jam sebelum diselamatkan.

Kejadian itu berlaku kira-kira 14 jam selepas kesemua mereka berlepas dari Jeti Hutan Melintang, Perak.

Bot malang yang membawa 16 nelayan itu merupakan milik nelayan tempatan yang berpengkalan di Hutan Melintang kira-kira 70 kilometer (km) dari Jeti Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin (PGM) Kampung Acheh dekat sini.

Komander PGM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan (gambar kecil) berkata, empat daripada 10 nelayan yang selamat itu cedera ringan.

“PGM menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan oleh pemilik bot nelayan terbabit, Lim Chun Meng, pada pukul 8.30 pagi tadi (semalam).

“Tiga buah bot ronda PGM tiba di lokasi kejadian pada pukul 11.30 pagi yang kemudian berjaya menyelamatkan semua 10 nelayan terbabit,” kata beliau pada sidang akhbar di Jeti Markas Operasi PGM, Kampung Acheh dekat sini semalam.

Menurut beliau, identiti dua nelayan yang terbunuh dikenali sebagai Mohamad, 40, seorang warga Thailand, dan seorang penduduk tempatan iaitu Tan Siu Giong, 36.

Katanya, mayat Mohamad dan Siu Gong masing-masing dijumpai oleh Unit Selam PGM di dalam perut bot nelayan terbabit pada pukul 12 tengah hari dan pukul 4.30 petang semalam.

Empat nelayan yang hilang ialah tekong bot nelayan terbabit yang dikenali sebagai Ah Huat, 50, dan tiga awak-awaknya juga rakyat tempatan dikenali sebagai Ah Peng, 47, Ah Kuang, 38, dan Ah Cheng, 55.

Zainul Abidin memberitahu, empat nelayan yang hilang itu kemungkinan terperangkap dalam perut bot nelayan yang terbalik dan gerakan mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga semua mangsa dijumpai.

Dalam pada itu, kata beliau, tiga nelayan yang cedera di hantar ke Hospital Sabak Bernam manakala seorang lagi dihantar ke Hospital Seri Manjung dekat sini dan mereka dirawat sebagai pesakit luar.

Semasa kejadian semua nelayan terbabit sedang nyenyak tidur sebelum bot mereka dilanggar sebuah kapal dagang yang dipercayai membawa muatan petroleum.

Namun selepas merempuh bot itu, kapal dagang terbabit tidak berhenti kerana dipercayai nakhoda kapal tersebut tidak perasan kejadian tersebut.

Keadaan bot nelayan yang terbalik selepas dilanggar kapal tangki di lokasi 10 batu nautika dari Kuala Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam semalam.

No comments:

Post a Comment