Translate

Saturday, October 9, 2010

Semua mangsa sedang tidur ketika bot dirempuh

SITIAWAN - Kesemua 16 nelayan yang menjadi mangsa dilanggar sebuah kapal tangki minyak semalam dikatakan sedang tidur akibat keletihan selepas mengerah keringat masing-masing untuk menangkap ikan sejak pukul 1 tengah hari kelmarin.

Salah seorang mangsa warga Thailand dikenali sebagai Surasak , 38, memberitahu, sebelum kejadian kesemua mereka sedang tidur dan hanya menyedari bot yang dinaiki dilanggar selepas terdengar bunyi rempuhan kuat sebelum ia terbalik.

"Saya yang panik sempat berenang keluar dari perut bot melalui salah sebuah tingkap yang agak sempit dan tergopoh-gapah berpaut pada sisi bot. Turut berpaut sembilan rakan saya tapi enam yang lain termasuk tekong tak kelihatan," ceritanya ketika ditemui di Jeti Markas Operasi PGM, Kampung Acheh dekat sini semalam.

Tambahnya, dia percaya bot mereka telah dilanggar oleh sebuah kapal tangki minyak kerana selepas menyelamatkan diri, dia ternampak kelibat kapal itu tidak jauh dari lokasi kejadian.

Menurut Surasak , dia dan sembilan nelayan lain terpaksa berpaut pada sisi bot selama tujuh jam sebelum diselamatkan anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Satu pada kira-kira pukul 11.30 pagi.

"Kami dalam perjalanan pulang ke Jeti Hutan Melintang setelah menangkap lebih 70 tan ikan cencaru di perairan terbabit sejak 1 petang semalam (kelmarin)," katanya lagi.

Dia menceritakan mengenai kejadian itu dalam bahasa Thailand yang diterjemahkan oleh Komander Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Satu, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan.

Surasak merupakan salah seorang daripada 10 nelayan yang diselamatkan PGM Wilayah Satu selepas bot mereka karam dipercayai dilanggar kapal tangki di perairan 10 batu nautika dari Kuala Bagan Nakhoka Omar, Sabak Bernam, Selangor awal pagi semalam.

Dua lagi nelayan ditemui mati dan empat yang lain masih belum ditemui dan dipercayai masih berada di dalam bot tersebut.

Seorang lagi nelayan yang terselamat, Tan Siu Tek, 34, memberitahu, ketika kejadian bot tersebut dipandu oleh salah seorang nelayan warga Thailand manakala nelayan lain sedang tidur.

"Saya mengalami kecederaan ringan di kepala selepas terhantuk akibat rempuhan kuat itu tetapi sempat menyelamatkan diri dengan memanjat bot yang terbalik.

"Kami diselamatkan oleh bot nelayan lain yang melalui kawasan tersebut," katanya.

Sementara itu, pemilik bot nelayan terbabit, Lim Chun Meng, 40, berkata, beliau dimaklumkan mengenai insiden tersebut daripada seorang nelayan yang kebetulan melalui lokasi kejadian pada kira-kira 7.30 pagi.

Menurutnya, beliau kemudian terus menghubungi PGM Kampung Acheh untuk meminta bantuan bagi menyelamatkan pekerjanya.

No comments:

Post a Comment