Translate

Saturday, October 16, 2010

Ibu hiba terima ijazah arwah anak

TANJUNG MALIM - Suasana hiba menyelubungi Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini apabila Selamah Ismail, 56, mengambil skrol ijazah mewakili anaknya, Norazmi Abdul Karim, 24, yang terbunuh dalam nahas Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka pada Ahad lalu.

Tambah menyentuh hati, akibat terlalu sedih, Selamah yang tidak dapat menahan kesedihan tiba-tiba jatuh terduduk sejurus menerima skrol ijazah terbabit daripada Pro-Canselor UPSI, Tan Sri Dr. Yahaya Ibrahim.

Dia kemudiannya terpaksa dipapah turun dari pentas oleh anak bongsunya, Norsuliza, 22, dan suami, Abdul Karim Jamaludin, 63, yang turut kelihatan bergenang air mata menyaksikan peristiwa itu.

Selamah yang menghidap masalah rabun kronik berkata, walaupun reda dengan pemergian Nor azmi namun dia terkilan kerana anak keenam daripada tujuh beradik itu merupakan harapan keluarga dan satu-satunya yang berjaya melangkah ke menara gading.

“Saya bertambah pilu apabila diberitahu beberapa kawan arwah, Norazmi berhajat untuk memulihkan penglihatan saya yang rosak teruk akibat masalah saraf setelah bergelar guru kelak," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Norazmi memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Seni) Kepujian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.06.

Abdul Karim pula berkata, beberapa hari sebelum nahas, Norazmi agak pelik apabila mendesak ibu mewakilinya mengambil skrol ijazah pada majlis konvokesyen.

“Tetapi tak sangka, hajat dia di penuhi) hari ini (semalam). Mungkin itu antara tanda-tanda ganjil arwah akan pergi tetapi kami tak perasan pada masa itu,” katanya.

Kosmo! Selasa lalu melaporkan Norazmi yang merupakan penumpang bas ekspres Delima adalah antara 12 orang yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah pada 10 Oktober lalu.

Dalam tragedi pada pukul 6.40 petang itu, bas ekspres terbabit yang dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur terbabas lalu merempuh pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah van, tiga buah kereta serta sebuah bas lain.

1 comment:

  1. Sedih baca berita nie..
    Rasa sebak sgt..

    Kalu sy pun mesti akn jd cmtue..

    http://fadthnwan.blogspot.com

    ReplyDelete