Translate

Friday, June 23, 2023

Pelajar asnaf UniSZA dilatih jadi usahawan agro

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seramai 30 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima latihan dalam bidang pertanian menerusi program Usahawan Agro Muda Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) – Maybank Islamic (MIYA).

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniSZA, Datuk Prof. Madya Dr. Mohd. Hafiz Yusoff berkata, program tersebut mendapat tajaan Maybank Islamic Berhad (Maybank Islamic).

“Program MIYA ini memfokuskan untuk membentuk pelajar UniSZA dalam kalangan asnaf menjadi usahawan tani apabila mereka tamat pengajian kelak.

“Fasa pertama melibatkan 30 pelajar dari Fakulti Biosumber dan Industri Makanan, Informatik dan Komputeran serta Pengajian Kontemporari Islam,” katanya di UniSZA kampus Tembila di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan pelancaran MIYA oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Nor Shahrizan Sulaiman.

Mohd. Hafiz berkata, peserta MIYA terlibat dalam penanaman cili, terung dan sawi di kawasan lapang yang terdapat di kawasan kampus UniSZA Tembila.

Beliau berkata, kesemua 30 pelajar terbabit akan melalui modul menjadi usahawan agro seperti kaedah penanaman bersepadu dan teknik pertanian pintar, Internet of Things (IoT) dan dron.

Tambah beliau, mereka juga akan diberikan bimbingan perniagaan dan pengurusan kewangan sepanjang tempoh latihan selama setahun tersebut. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment