Translate

Saturday, June 24, 2023

UMT temui spesies baharu ikan, Ambassis octava

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menemui spesis baharu ikan seriding atau nama saintifiknya, Ambassis baru-baru ini.

Ketua projek penyelidikan tersebut, Prof. Dr. Siti Azizah Mohd. Nor berkata, setakat ini, spesies baharu ikan yang dinamakan Ambassis octava tersebut dikesan didapati di pesisir pantai Johor, Perak dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, Ambassis octava yang ditemui oleh penyelidik UMT dan Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan spesies kelapan ikan seriding yang pernah ditemui.

“Spesies terdahulu iaitu ketujuh ikan Ambassis dikenali sebagai Ambassis kopsii
yang berjaya ditemui saintis dikesan di Singapura pada tahun 1858.

“Kejayaan mengenalpasti spesies kelapan setelah 165 tahun Ambassis kopsii dijumpai merupakan penemuan yang bersejarah,” katanya di sini hari ini.

Siti Azizah berkata, antara ciri ikan Ambassis ialah ialah ia memiliki duri dan gerigi di kepala yang tajam.

Tambah beliau, spesies ikan terbabit suka hidup di dalam kawasan pantai yang mempunyai ekosistem bakau.

“Artikel berkenaan penemuan Ambassis octava diterbitkan di dalam Icythyological Research yang merupakan jurnal saintifik antarabangsa berprestij disunting Persatuan Iktiologi Jepun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment