Translate

Monday, June 12, 2023

Ajal lelaki OKU terbabit nahas ketika pulang ke rumah

MARANG – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan kenderaan jenis sama di Jalan Rawai-Padang Limau Nipis berhampiran Kampung Bukit Damai di sini kelmarin.

 Kejadian pada pukul 9.45 malam itu mengorbankan mangsa, Mohd. Azman Mat Salleh, 43, yang kudung kaki tangan. 

 Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan. 

Kemalangan itu turut menyebabkan dua lagi mangsa iaitu Mohamad Zulkifli Suparman, 32, dan anaknya, Nur Ameena Sofia, 4, cedera. 

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Azman yang menunggang motosikal Honda Dash 125 dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Limau Nipis. 

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan. 

“Kenderaan itu kemudian bertembung dengan motosikal Yamaha LC135 yang dinaiki Mohamad Zulkifli dan anak perempuannya,” katanya semalam. 

Mohd. Zain berkata, impak pelanggaran itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa tercampak dari motosikal masing-masing. 

Mayat Mohd. Azman dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat. Mohamad Zulkifli yang patah tangan dan kaki serta anaknya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan.

No comments:

Post a Comment