Translate

Sunday, June 25, 2023

Buruh ladang maut, rakan sekerja cedera dirempuh Proton Saga

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang buruh ladang maut manakala rakan sekerjanya pula cedera selepas motosikal masing-masing dirempuh sebuah kereta Proton Saga di Jalan Kampung Rahmat – Kilang Sawit Chalok di sini semalam.

Mangsa, Muhammmad Shaifudin Mat Rahim, 36, meninggal dunia hari ini selepas hampir 18 jam bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Seorang lagi mangsa, Zaidah Mustafa, 44, yang menaiki motosikal Honda C100 pula cedera pada bahagian paha.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sewaktu kemalangan pada pukul 3.15 petang semalam, Muhammmad Shaifudin dan Zaidah yang bekerja di Ladang Cahaya Chalok di sini dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing.

“Motosikal dinaiki mereka masing-masing telah dirempuh sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang operator kilang kelapa sawit yang dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Kenderaan itu dikatakan telah hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan yang dilalui kedua-dua mangsa,” katanya di sini hari ini.

Afandi berkata, Muhammmad Shaifudin dan Zaidah yang cedera telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Setiu di sini.

Tambah beliau, Muhammmad Shaifudin yang kritikal kemudiannya dipindahkan ke HSNZ sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 9 pagi tadi.

“Pemandu kereta Proton Saga berusia 47 tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat Mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment