KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar enggan menyahut cabaran Datuk Seri Ahmad Said untuk berdebat berhubung isu penjualan tanah kerajaan negeri pada harga murah kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata, tiada keperluan untuknya berdebat dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu berkenaan berhubung isu tersebut.
“Tidak ada keperluan untuk kita berdebat (isu penjualan tanah) dan saya tak akan ikut ‘game pelan’ (perancangan politik) dia (Ahmad). Buat apa saya nak ikut.
“Sewaktu kita (Pas) cabar berdebat (isu tanah tersebut) di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun 2014, dia (Ahmad sewaktu menjadi Menteri Besar Terengganu) pun tidak layan,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu beliau ditemui pada sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bersama Kerajaan Negeri Terengganu.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri bersedia untuk memberi keterangan berhubung isu penjualan tanah tersebut sekiranya dipanggil pihak berkuasa.
Sebelum ini, Ahmad Samsuri dilaporkan pejualan tanah seluas 11,299 meter persegi di lokasi strategik di Batas Baru di sini sebagai isu kecil.
Sehubungan itu, Ahmad pada kelmarin telah mencabar Ahmad Samsuri untuk berdebat tentang isu penjualan tanah tersebut yang didakwanya pada harga cuma RM550,000 sedangkan nilaian semasa hartanah tersebut ialah RM29 juta. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment