Translate

Thursday, December 17, 2015

Suami gagal beri nafkah punca Farah Asyikin tuntut cerai

KUALA LUMPUR –  Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam diberitahu ke­gagalan Zaahier Stanley, 38, untuk memberi nafkah secara konsisten terhadap isterinya, Farah Asyikin, 36, atau lebih dikenali sebagai Farah menjadi punca syiqaq (perkelahian berpanjangan) pasangan tersebut sehingga mendorong penyanyi tersebut memfailkan tuntutan penceraian pada hujung tahun lalu.
Kamarul Bahrin Mohamad yang me­rupakan hakam (penimbang tara) keluarga dilantik Farah berkata, Zaahier, seorang warga Afrika Selatan didapati tidak dapat menunaikan tanggungjawab memberi nafkah dan menyediakan tempat tinggal munasabah dengan sebaiknya kerana menghadapi masalah kewangan berikutan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Beliau yang juga abang ipar pe­nyanyi yang popular dengan lagu 1,000 Penipuan tersebut berkata, masalah ber­kenaan menyebabkan pasangan tersebut sering bergaduh dan mereka didapati telah tinggal berasingan sejak setahun lalu.

“Saya merumuskan memang terdapat syiqaq, Farah mahu penceraian manakala suaminya pula enggan bercerai,” katanya ketika menyampaikan laporan hakam di hadapan Hakim Syarie Umamuddin Yunus di sini semalam.

Proses hakam diperuntukkan di bawah Seksyen 47 (14) dan Seksyen 48 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang memperuntukkan kuasa kepada mahkamah untuk melantik dalam kalangan saudara terdekat iaitu dua penimbang tara yang mempunyai makluman berkaitan isu rumah tangga pihak-pihak terbabit untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri.

Farah atau nama sebenar­nya Farah Asyikin Zulkifli diwakili peguam syarie, Siti Maisyarah Hashim manakala peguam syarie, Nurfarhana Abdul Manaf mewakili defendan.

Sementara itu, hakam keluarga bagi pihak Zaahier, Hussin Mohd. Razak turut bersetuju defendan mempunyai masalah memberi nafkah kerana sukar mendapat pekerjaan tetap berikutan statusnya sebagai warga asing di negara ini.

Namun begitu, Hussin memberitahu, Zaahier yang juga rakan perniagaannya telah berusaha untuk mencari rezeki dengan mengusahakan peniagaan minyak wangi dan membuka pusat latihan sejak beberapa bulan lalu.

Siti Maisyarah Hashim kemudiannya mencadangkan agar hakam mahkamah dari kalangan pegawai syariah dilantik setelah proses hakam keluarga dianggap tidak berjaya mencapai objektif.

Umamuddin membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan sebutan semula kes bagi pelantikan hakam mahkamah tersebut pada 21 Disember ini.

Farah yang pernah me­nyertai rancangan realiti, Malaysia Idol 2 dan One In A Million memfailkan perceraian pada Oktober tahun lalu selepas mendirikan rumah tangga dengan Zaahier yang merupakan bekas pengurus projek pada 15 Februari 2013. Pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Ebrahim Owais yang kini berusia hampir dua tahun.

No comments:

Post a Comment