Translate

Thursday, December 10, 2015

Penipu hartanah dijel, sebat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Tembelang seorang lelaki yang giat melakukan penipuan dalam penjualan di laman web perdagangan atas talian, www.mudah.com mendapat balasan setimpal apabila dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Mazrin Abd. Aziz, 29, didapati bersalah atas dua pertuduhan memperdaya mangsa untuk menyerahkan wang deposit melibatkan transaksi keseluruhan berjumlah RM30,000 bagi urusan penukaran hak milik sebuah rumah beralamat di 23, Jalan Mutiara 4/4, Taman Selayang Mutiara, Batu Caves, Sela­ngor yang tidak dapat diwujudkan pada tahun lalu.
Rumah teres setingkat yang kononnya mahu dijual pada harga RM280,000 tersebut bukan milik tertuduh dan pemilik asal iaitu Khairul Amar Amin pula tidak mengetahui premisnya telah diiklankan di dalam laman web berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, Mazrin didakwa memperdaya Nur Zaiti Ikmal Dzainuddin yang merupakan seorang guru untuk mempercayai rumah terbabit mahu dijual oleh tertuduh sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM15,000 sebagai deposit pembelian hartanah itu di Restoran Azhar, Batu 1/2, Jalan Ipoh di sini pada pukul 2.30 petang, 27 Mac 2014.

Dia turut dituduh dalam satu pertuduhan lain iaitu menipu pasangan suami isteri, Muhamad Nazri Ahmad Saghirm, 33, dan Fatimah Abdullah, 34, untuk menyerahkan wang tunai RM15,000 sebagai deposit pembelian rumah sama di AmBank cawangan Jalan Yap Kwan Seng di sini pada pukul 4 petang, 30 Mac 2014.

Mazrin didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun dan 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Hakim Norsharidah Awang memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan pertama manakala bagi pertuduhan kedua pula, hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan telah dikenakan.

Beliau memerintahkan Mazrin yang tidak diwakili peguam menjalani hukuman bagi kedua-dua pertuduhan ber­kenaan secara berasingan bermula dari tarikh dia ditangkap polis iaitu 20 Mac 2015.

No comments:

Post a Comment