Translate

Wednesday, December 2, 2015

Awie kena notis tunjuk sebab

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada pelakon dan penyanyi rock terkenal, Awie ekoran kegagalannya mematuhi tiga perintah mahkamah sebelum ini termasuk menyerahkan anak sulung mereka iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, kepada bekas isterinya, Rozana Misbun.
Hakim Syarie Mohd. Amran Mat Zain memerintahkan Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 47, memberi penjelasan kepada mahkamah berhubung isu tersebut pada 11 Januari depan.
“Saya berpuas hati dengan permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) yang dikemukakan pemohon (Rozana) untuk mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada responden (Awie).
“Tarikh 11 Januari 2016 ditetapkan untuk responden mengemukakan alasan munasabah kepada mahkamah,” kata beliau ketika membacakan keputusan penghakimannya di sini semalam.
Kegagalan Awie untuk akur atau memberi alasan munasabah berhubung keengganannya mematuhi perintah terbabit boleh menyebabkan dia dikenakan tindakan menghina mahkamah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 jika sabit kesalahan.
Pendengaran permohonan yang dikemukakan Rozana di hadapan Mohd. Amran semalam berlangsung tanpa kehadiran Awie dan peguam syarienya.
Bekas model berusia 37 tahun tersebut memfailkan permohonan kebenaran tersebut menerusi peguam syarie Nor Azmi Mohd. Arif mengikut Seksyen 151(1) (a)(b) Akta Tatacara Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1998 dan Seksyen 151(aa) 229(1) akta sama di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 24 November lalu.

Wanita itu berbuat demikian berikut keengganan bekas suaminya untuk mematuhi perintah mahkamah sebelum ini yang memberi hak penjagaan sementara tiga orang anak mereka kepadanya.

Awie belum menyerahkan Putra Ahmad Merrah kepada Rozana sehingga kini walaupun dua lagi anak mereka iaitu Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, sudah berada dalam jagaan bekas isterinya sejak awal tahun ini.

Vokalis kumpulan Wings itu juga gagal membayar kos mahkamah sebanyak RM900 setelah bantahan awal yang dikemukakan dia berhubung permohonan Rozana bagi mengetepikan perintah hak jagaan anak secara sebelah pihak yang diperoleh penyanyi itu sebelum ini ditolak Mahkamah Tinggi Syariah.

Selain itu, Awie juga belum mematuhi perintah mahkamah untuk membayar kos RM5,000 setelah hak penjagaan anak sementara yang diterimanya pada Julai 2014 dibatalkan kerana sijil nikah yang dikemukakannya ketika memfailkan permohonan tersebut didapati palsu.

Awie dan Rozana berkahwin secara rahsia di selatan Thailand pada 20 Jun 2005 tetapi tidak mendaftarkannya di Malaysia sehingga hari ini.


No comments:

Post a Comment