PUTRAJAYA – Rayuan bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerjanya untuk dibebaskan daripada hukuman gantung kerana membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain lima tahun lalu tidak kesampaian selepas Mahkamah Rayuan di sini semalam mengekalkan hukuman mati ke atas mereka.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Aziah Ali dalam keputusan mereka telah sebulat suara menolak permohonan Pathmanabhan, 46; T. Thilaiyalagan, 23; R. Matan, 24; dan R. Kathavarayan, 34, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam setelah mendapati sabitan yang dikenakan terhadap keempat-empat responden adalah kukuh.
Salah seorang panel hakim yang bersidang, Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat berkata, tiada sebab untuk mengubah keputusan sabitan sebelum ini dan pihaknya juga berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan membunuh tersebut.
“Tak mungkin mereka berada di Genting Highlands seperti didakwa apatah lagi pada bulan Ramadan,” kata beliau ketika membacakan penghakiman tersebut di sini semalam.
Turut bersidang bersama panel itu ialah Hakim Datuk Seri Zakaria Sam.
Kesemua tertuduh kelihatan tenang di kandang pesalah ketika mendengar keputusan itu. Pihak pembelaan memberitahu, mereka akan meneliti penghakiman terbabit dan bercadang untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Pathmanabhan diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon; Thilaiyalagan diwakili peguam Gurbachan Singh dan Hisyam Teh Poh Teik; Matan pula diwakili peguam Amer Hamzah Arshad manakala Kathavarayan diwakili peguam M.Stanislaus Vethanayagam.
Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Mei 2013 telah menyabitkan hukuman mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap keempat-empat tertuduh kerana membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahamad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsudin, 44.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Ladang Gadong yang terletak di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, Selangor antara pukul 8.30 malam dan pukul 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Sosilawati dan tiga pembantunya telah pergi ke ladang berkenaan untuk berjumpa Pathmanabhan bagi mencari penyelesaian berhubung penjualan tanah di Batu Ferringhi, Pulau Pinang namun mereka kemudian didapati tidak pulang selain tidak menjawab panggilan telefon.
Polis kemudian menahan lima lelaki pada 9 September 2010 yang membawa kepada penemuan kawasan pembakaran mayat di belakang ladang terbabit tiga hari kemudian dan sisa tulang, kesan darah dan kayu kriket, jam tangan dan telefon bimbit yang disahkan milik Sosilawati dan rakan-rakannya.
Maklumat seterusnya membawa kepada penemuan kayu dan zink serta kesan terbakar dan kesan darah di dasar Sungai Kanchong Laut yang terletak tidak jauh dari lokasi pembunuhan.
No comments:
Post a Comment