Translate

Friday, December 18, 2015

Hukuman jel, denda Wahid kekal


Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Hasrat bekas Ketua Pengarah (KP) Imigresen, Datuk Wahid Md. Don, 63, untuk bebas daripada sabitan kes ra­suah pada lapan tahun lalu tidak kesampaian apabila rayuannya untuk mengetepikan sabitan tersebut ditolak Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Hakim Amelia Teng Heong Geok Abdullah mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM300,000 yang diputuskan Mahkamah Sesyen di sini pada 30 Oktober 2013.
“Mahkamah meneliti semua fakta keterangan yang telah dikemukakan kedua-dua pihak (pendakwaan dan pembelaan) sepanjang prosiding kes ini di Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan (sejak tahun 2008). Keterangan pihak pendakwaan le­bih dipercayai dan tidak dapat disanggah,” katanya ketika membacakan penghakimannya di sini semalam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Abdul Razak Musa manakala Wahid diwakili peguam, Datuk V. Sithambaram.
Wahid dituduh menerima rasuah RM60,000 daripada seorang ahli perniagaan, Datuk Low Chang Hian bagi meluluskan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh untuk memasuki Malaysia di rumahnya di Jalan Lembah Ledang Off Jalan Duta (sekarang dikenali sebagai Jalan Tuanku Abdul Halim) di sini pada pukul 10.15 malam, 10 Julai 2008.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 11(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Amelia mengarahkan Wahid membayar denda RM300,000 selewat-lewatnya 4 Januari depan. Kegagalan membayar denda tersebut membolehkan tertuduh dikenakan hukuman penjara selama 12 bulan.

Beliau turut membenarkan permohonan Sithambaram untuk menangguhkan hukuman penjara dengan wang jaminan sebanyak RM100,000 dengan dua orang penjamin sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Rayuan.

Kosmo! 31 Oktober 2013 melaporkan, selepas dua kali terlepas daripada sabitan kes rasuah, nasib Wahid yang memegang jawatan Ketua Pengarah Imigresen selama dua tahun dari 1 Oktober 2006 berubah apabila Hakim Rosbiahanin Arifin me­ngenakan hukuman penjara enam tahun dan denda RM300,000 di Mahkamah Se­syen di sini.

Sebelum itu, tertuduh telah dilepaskan dan dibebaskan pada akhir kes pendakwaan oleh mahkamah sama pada 15 Oktober 2010. Keputusan sama turut dikekalkan ketika rayuan pendakwaan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Mei 2012.

Begitupun, rayuan pendakwaan telah diterima di peringkat Mahkamah Rayuan pada 2 April 2013 dan mengarahkan Wahid agar membela diri di Mahkamah Sesyen di sini.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan telah memanggil 40 saksi termasuk bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar manakala Wahid sebagai saksi pembelaan.


No comments:

Post a Comment