Translate

Friday, December 11, 2015

Tuntut pampasan jutaan ringgit

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Bekas isteri seorang pengarah eksekutif sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memohon perintah Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam untuk menguatkuasakan butiran perjanjian perkahwinan melibatkan pampasan jutaan ringgit.
Perjanjian itu telah ditandatangani pasangan itu kira-kira 10 bulan sebelum berlakunya penceraian.
Zarina Zainuddin (gambar), 42, yang juga merupakan seorang suri rumah memfailkan permohonan berkenaan bersama tuntutan mutaah, nafkah anak, hadanah (hak penjagaan anak) dan lain-lain selepas mendakwa penceraian yang berlaku pada 17 Februari lalu berpunca daripada pelanggaran terma dan syarat perjanjian tersebut oleh bekas suaminya, Ahmad Farouk Mohamed, 43.
Peguam syarie, Hazizah Kassim yang mewakili Zarina berkata, antara butiran perjanjian tersebut ialah pembayaran mutaah sebanyak RM500,000, nafkah RM10,000 sebulan, penyerahan hak milik dua rumah di Taman Tun Dr. Ismail di sini.
Selain itu, ia melibatkan pembelian kenderaan baharu setiap tujuh tahun dan kos menunaikan ibadah haji kepada plaintif sebagai pampasan penceraian.
“Perjanjian itu turut merangkumi nafkah dan hak penjagaan anak yang akan diberikan kepada anak guam saya selagi beliau tidak berkahwin baharu. Ia akan berkuatkuasa sekiranya defendan (Ahmad Farouk) didapati melanggari terma dan syarat dipersetujui seperti tidak mengamalkan poligami dan berlaku curang sehingga menyebabkan penceraian.
“Kami akan membuktikan semua dakwaan tersebut dalam perbicaraan permohonan berkenaan yang akan bermula pada 16 Disember ini,” katanya ketika ditemui selepas proses sebutan kes hadanah pasangan berkenaan di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Luthatul Hana Samsudin di sini semalam.

Prosiding terbabit berlangsung tanpa kehadiran Ahmad Farouk yang hanya diwakili peguam syarie, Datuk Shamsuriah Sulaiman.

Sementara itu, Zarina yang ditemui di luar mahkamah memberitahu, perjanjian itu ditandatangani di rumah kelamin mereka di Taman Tun Dr. Ismail dengan bersaksikan peguam, Joanne Lazaroo dan Nurul Suzilyana Mohamed Saat bersama kesemua anak mereka yang berusia dalam lingkungan lapan hingga 17 tahun.

Menurutnya, perjanjian yang dibuat pada 12 April 2014 itu demi melindungi haknya dan anak-anak dalam sepanjang tempoh perkahwinan dan selepas perpisahan.

Mereka yang melangsungkan perkahwinan pada 26 Jun 1997 dikurniakan empat orang anak iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan.

Dalam pada itu, Ahmad Farouk dalam penyataan tuntutan balasnya menafikan dakwaan Zarina dan mendakwa beliau menandatangani perjanjian perkahwinan tersebut tanpa kerelaan dan dalam keadaan terpaksa.

No comments:

Post a Comment