Translate

Thursday, December 24, 2015

Pencetus kekecohan dijel, denda

KUALA LUMPUR – Perbuatan seorang penjaga tempat letak kereta menimbulkan kekecohan di Kompleks Kota Raya, Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini berhubung pembelian telefon bimbit pada Ahad lalu menerima akibatnya apabila dia dipenjara empat hari dan denda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Khairuddin Arbi @ Omar, 38, dari Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Saifulakmal Ahmad.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Farith Muhammad Faizal manakala tertuduh diwakili peguam, Zulkifli Awang.
Mengikut pertuduhan, Khairuddin didakwa menakutkan secara jenayah lima jurujual sebuah kedai telefon bimbit iaitu Chiaw Wai Kit, 20; Lim Wai Hong, 27; Wong Weng Kong, 23; Liew Wai Chung, 21; dan Yong Haw Nam, 22 dengan mengugut untuk memecahkan premis mereka di tingkat bawah, Kompleks Kota Raya di sini pada pukul 5 petang, 20 Januari lalu.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini yang menerima aduan tentang perbuatan tersebut kemudiannya telah bertindak menahan tertuduh di kawasan tempat letak kereta Jalan Tun Siew Sin di sini pada pukul 8.05 malam iaitu kira-kira tiga jam selepas kejadian.

Khairuddin didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan Khairuddion menjalani penjara tambahan selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh yang masih bujang membayar denda tersebut.

Kosmo! Selasa lalu melaporkan, polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun berhubung insiden kekecohan di sebuah kedai telefon bimbit di Kompleks Kota Raya di sini Ahad lalu.

Suspek merupakan salah seorang daripada 15 individu yang terbabit dalam pergaduhan terbabit.

Pada Ahad lalu, satu klip video berdurasi dua minit dan 30 saat menunjukkan beberapa lelaki bergaduh dengan jurujual di sebuah kedai telefon bimbit menjadi viral di laman sosial.

No comments:

Post a Comment