Translate

Thursday, December 10, 2015

Shah Jaszle dakwa diperangkap

PETALING JAYA – Pelakon Shah Jaszle membe­ritahu Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di sini semalam dia mengesyaki serbuan khalwat yang dilakukan pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada dua tahun lalu merupakan perangkap yang didala­ngi oleh Farah Nurizzati Salleh.
Dia yang mula dikenali dengan drama Asmara itu berkata, berdasarkan maklumat yang diberikan salah seorang anggota penguat kuasa JAIS pada malam kejadian, serbuan tersebut dilakukan selepas menerima aduan yang dipercayai dibuat oleh Farah Nurizzati sendiri.
“Saya dimaklumkan ­aduan pertama dibuat pada pukul 11 malam (15 Mei 2013) sedangkan saya hanya memasuki rumah Farah Nurizzati pada pukul 3.15 pagi (16 Mei 2013) untuk mengambil pakaian yang akan digunakan untuk penggambaran drama pada keesokkan pagi­nya.
“Saya juga mempunyai bukti kiriman pesanan ringkas (SMS) yang menunjukkan Farah Nurizzati mengharapkan pertunangan saya (dengan Redzwani Pu­teri) terputus berikutan kejadian khalwat ber­kenaan,” katanya di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di sini semalam.

Shah Jaszle atau nama sebenarnya, Mohd. Shahrizal Jaszle Jasmin, 27, memberi ke­terangan membela diri secara bersumpah dalam perbi­caraan kes khalwat membabitkan dia dengan Farah Nurizzati di hadapan Hakim Syarie, Abd. Halim Abu Samah.

Pasangan itu didakwa me­lakukan kesalahan tersebut di KC-01-16, Blok C, Apartmen Kayangan, Jalan PJS 10/24, Taman Sri Subang di sini pada pukul 3.50 pagi, 16 Mei 2013.

Farah Nurizzati, bekas pekerja bank bagaima­napun telah didenda RM3,000 oleh mahkamah sama selepas wanita itu mengaku bersalah ketika kes itu pertama kali di­sebut pada 12 November 2013.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 29(a)(b) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 yang membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.

Shah Jaszle berkata, Farah Nurizzati juga bertindak memburukkannya kepada pengamal media dan keluarga Redzwani Pu­teri setelah dia bertindak menjauhkan diri daripada wanita tersebut selepas insiden khalwat itu.

Artis itu mendakwa sebelum kejadian, wanita berkenaan juga cuba menjalinkan hubungan rapat dengannya tetapi tidak dilayan kerana dia terlalu mengasihi tunangnya pada waktu itu.

Terdahulu, Shah Jaszle memberitahu dia mengenali Farah Nurizzati ketika terlibat dalam produksi drama, Lembayung Kasih­mu.

Katanya, dia telah me­nerima 14 panggilan telefon tidak dijawab daripada wanita itu yang merupakan individu bertanggungjawab menjaga pakaian pelakon produksi drama terbabit bermula pada pukul 11.20 malam, 15 Mei 2013.

“Saya hanya mengangkat panggilan telefon dibuat Farah Nurizzati selepas tersedar daripada tidur pada pukul 1.15 pagi.

“Dia merayu saya datang ke rumahnya untuk menentu pakaian yang dipakai pada penggambaran keesokan paginya,” katanya.

Shah Jaszle berkata, dia yang kurang sihat telah meminta Farah Nurizzati mengambilnya di rumah kakak pelakon itu di Damansara Perdana dan semasa sampai di rumah wanita berkenaan, dia mendapati premis itu turut dihuni tiga individu lain termasuk pasangan suami isteri yang juga sepupu wanita itu.

Setelah memilih pakaian produksi di ruang tamu, dia yang kurang sihat te­lah diminta Farah Nurizzati untuk berehat di bilik tidur wanita itu.

“Saya terlena di atas katil di bilik tidur itu dalam keadaan pintu bilik dan tingkap terbuka serta lampu terbuka.

“Sedar-sedar daripada tidur, saya nampak pintu bilik telah dibuka oleh Farah Nurizzati setelah ia diketuk beberapa kali oleh anggota penguat kuasa JAIS,” katanya.

Perbicaraan bersambung 23 Februari 2016.

No comments:

Post a Comment