Translate

Wednesday, December 16, 2015

Akibat curi coli, seluar dalam


Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Gara-gara mencuri pakaian termasuk coli dan seluar dalam bernilai keseluruhan RM1,147 bersama adik perempuannya, seorang ibu tunggal dihukum penjara 20 hari dan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam,
Norlida Muhamad, 31, yang menetap di PPRT Pulu Ulu, Jalan Pudu Ulu, Cheras di sini mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor.
Turut membuat pengakuan bersalah, ialah adiknya, Noramira, 20, yang merupakan seorang suri rumah dan mempunyai seorang anak berusia lapan bulan.
Mereka didakwa melakukan perbuatan mencuri lapan helai seluar, coli (enam), baju (enam) dan seluar dalam (empat) di pasar raya besar Aeon Jusco Maluri, Jalan Jejaka, Cheras dekat sini pada pukul 4.30 petang, kelmarin.
Berdasarkan fakta kes, Norlida dan Noramira menggunakan modus operandi berpura-pura mencuba pakaian baharu di bilik persalinan di pasar raya besar terbabit sebelum bertindak menyorokkan barangan curi tersebut di dalam beg plastik dan beg ta­ngan milik mereka.

Tindak-tanduk dua beradik tersebut yang keluar dari bilik persalinan tanpa membuat sebarang bayaran telah menyebabkan kecurigaan sebelum mereka ditahan oleh salah seorang kakitangan pasar raya besar terbabit di kawasan tempat letak kereta.

 Pemeriksaan di dalam beg plastik dan beg tangan milik Norlida dan Noramira telah menemui ke­semua barangan curi terbabit sebelum kedua-kedua tertuduh dibawa ke Balai Polis Cheras di sini untuk tindakan lanjut.

 Dua beradik itu dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
 Nur A’minahtul Mardiah membenarkan hukuman terhadap Noramira ditangguhkan bagi menunggu laporan sosial pada 19 Januari depan.

 Beliau juga membenarkan tertuduh kedua dibebaskan dengan wang jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin manakala Norlida juga membayar denda tersebut.

No comments:

Post a Comment