Translate

Thursday, December 24, 2015

Penghantar surat bakar kereta diberkas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PETALING JAYA – Seorang penghantar surat ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes melempar botol berisi petrol hingga memusnahkan enam kenderaan termasuk kereta yang dinaiki isterinya bersama seorang lelaki lain di tempat letak kereta berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT) Taman Jaya di sini kelmarin.

 Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah, Mazrah Mohamed membenarkan permohonan reman itu di Mahkamah Majistret di sini semalam.

 Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.

 Pertuduhan tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

 “Suspek yang berasal dari Kampung Pantai Dalam, Kuala Lumpur dekat sini diberkas di sekitar bandar raya ini pada pukul 11 malam semalam (kelmarin),” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

 Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki yang dalam proses penceraian bertindak gila apabila membakar kereta Proton Wira yang dinaiki isterinya bersama seorang lelaki lain dengan membaling bom petrol yang mengenai tempat duduk belakang kenderaan tersebut.

 Kejadian pada pukul 1.30 petang itu turut memusnahkan liman kereta lain iaitu Toyota Vios, Proton Saga BLM, Suzuki Swift, Proton Gen 2 dan Honda yang dile­takkan di tempat letak kereta terbabit melibatkan kerugian mencecah RM300,000.

No comments:

Post a Comment