Translate

Thursday, April 25, 2013

Tekad Rosli rampas DUN Changkat Jering


BUKIT GANTANG - Jika bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin dari Pas menyangka beliau bakal mendapat laluan mudah bertanding di DUN Changkat Jering selepas 'melarikan diri' dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang, ternyata ia satu percaturan yang silap.

Malah silap hari bulan, karier politik Timbalan Pesuruhjaya 2 Pas Perak bakal terkubur pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ini kerana calon yang ditampilkan Barisan Nasional (BN) merupakan tokoh berpengaruh tempatan iaitu Datuk Rosli Husin.
Ia tidak mustahil kerana Rosli yang kini menerajui UMNO Bahagian Bukit Gantang bukan sahaja anak jati Changkat Jering malah sifat peribadinya yang peramah dan selamba membolehkan beliau mempunyai hubungan baik dengan penduduk tempatan.

“Pemilihan pucuk pimpinan untuk saya bertanding di DUN Changkat Jering bagaikan sirih pulang ke gagang,” ujar Rosli kepada Kosmo! semalam.

Beliau merupakan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong  yang turut berada di bawah Parlimen Bukit Gantang sejak tahun 2004.

Rosli memberitahu keazaman beliau untuk merampas kembali kerusi yang dikuasai pembangkang semakin kuat dan dimudahkan oleh kerjasama erat yang terjalin antara parti komponen BN diterajui UMNO.

Tambah beliau, sejak lima tahun lalu, setiap sayap parti komponen BN seperti Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri tidak putus-putus menganjurkan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan kembali sokongan rakyat.

“Ia terbukti selepas UMNO Bahagian Bukit Gantang diiktiraf antara bahagian yang paling aktif di negara ini seperti diumumkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 akhir tahun lalu,” katannya.

Rosli mengakui faktor kekalahan BN di Parlimen dan dua DUN disebabkan pengundi India dan Cina yang tidak menyokong BN.

Menurut beliau, landskap politik Bukit Gantang termasuk Changkat Jering kini sudah banyak berubah.

Sokongan kembali mereka terhadap BN boleh dilihat menerusi bilangan masyarakat India dan Cina yang semakin ramai hadir ke pejabat beliau untuk mendapatkan khidmat bantuan.

“Penerimaan itu juga diserlahkan menerusi penglibatan penduduk tanpa mengira kaum pada program-program anjuran parti komponen BN Bukit Gantang.

“Selain kerja keras BN Bahagian Bukit Gantang, kebanyakan mereka tertarik dengan kesungguhan dan keikhlasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mentadbir negara,” katanya.

Ujar Rosli, sebahagian penyokong-penyokong tegar Pas juga sudah mula 'berlembut' dan mahu mendampingi pemimpin-pemimpin BN tempatan.

“Kalau dahulu, kita tak boleh pasang bendera di kubu kuat Pas seperti Changkat Ipoh, Kampung Pauh dan Batu 8 tetapi sekarang tak lagi. Malah ada di antara mereka berjumpa untuk menyatakan sokongan secara terbuka kepada saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment