BATU GAJAH - Dasar Transformasi Negara bukan sahaja berjaya melakukan penambahbaikan besar kepada sistem pengangkutan awam tempatan tetapi juga menarik pelaburan baharu kepada negara.
Terbaharu, syarikat gergasi lokomotif dari China, China South Locomotive & Rolling Stock Corporation Ltd. (CSR Corporation) akan membangunkan kemudahan membina kereta api dan lokomotif dengan pelaburan fasa pertama bernilai RM400 juta di atas tapak seluas 16.8 hektar.
Projek itu akan dibangunkan berdekatan akademi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelaburan syarikat dari China itu adalah bukti berterusan komitmen transformasi yang dilaksanakan kerajaan.
"Projek di Batu Gajah ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa adanya dasar transformasi nasional.
"Saya anggap ia sebagai satu lagi bukti bahawa dasar kita (kerajaan) memang berjaya dan boleh memberi manfaat besar kepada negara," kata Najib semasa berucap pada majlis pelancaran dan pecah tanah projek tersebut di sini semalam.
Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.
Tanah milik Perbadanan Aset Keretapi Malaysia itu telah dipajakkan kepada CSR bagi membangunkan kilang berkenaan.
Perdana Menteri menambah, pembinaan kilang itu juga bukti hubungan baik antara Malaysia dan China selaku rakan dagang terbesar negara.
"Pihak CSR datang jumpa saya untuk bertanyakan hal pelaburan iaitu membina satu pusat MRO (pusat penyelenggaraan pembaikan dan baik pulih).
"Mereka hendak buat satu kilang pembuatan gerabak dan lokomotif dan bertanya kepada saya di manakah kilang ini patut ditempatkan, saya jawab lebih baik ditempatkan di Batu Gajah," katanya.
Kilang itu dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya dalam tempoh setahun dengan menawarkan 800 peluang pekerjaan.
No comments:
Post a Comment