Translate

Wednesday, April 24, 2013

Aku janji untuk majukan Perak

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

PADANG RENGAS - Membelek buku Aku Janji Barisan Nasional (BN) Perak, kita mendapati ia bukan sekadar janji-janji manis tetapi lebih menyerupai pelan rancangan pembangunan lima tahun yang dibuat secara sistematik.

Ia tidak menghairankan kerana sebelum ini, dasar kerajaan negeri Perak yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir telah dirangka dan dilaksana secara teliti dan tidak semata-mata bersifat populis.

Pendek kata, aku janji tambahan yang mengandungi 11 teras itu merupakan kesimbangan daripada gagasan Perak Aman Jaya iaitu pelan pembangunan jangka panjang pembangunan Perak untuk  menuju status negeri maju.

Zambry yang juga Pengerusi BN Perak berkata, aku janji yang mengandungi 82 perkara tersebut di susun secara komprehensif bagi memastikan ia memberi manfaat semua rakyat negeri itu selaras dengan slogan, 'Tiada yang Tertinggal, Tiada yang Terpinggir'.

“Ia dirangka sebagai penyelesaian kepada keperluan dan kehendak rakyat Perak setelah denyut nadi dan perasaan mereka diselamai BN menerusi program turun padang,” katanya ketika melancarkan Aku Janji BN Perak di perkarangan BN Padang Rengas, Chenderoh dekat sini kelmarin.

Zambry berkata, ciri-ciri kerajaan negeri yang bakal dibentuk BN sekiranya diberi mandat pada 5 Mei ini ialah membentuk kerajaan yang inklusif bagi menjamin keadilan segenap rakyat.

Menurut beliau, kerajaan itu juga mesti stabil bagi menjamin keamanan dan bakal digerakkan oleh kakitangan awam yang efektif, ada integriti dan cekap.

“Selain itu, bagi memacu ekonomi, kami meneruskan dasar mesra pelabur. Kerajaan negeri juga bukan sahaja mesra rakyat malah bersikap terbuka apabila mendengar pandangan mereka,” katanya.

Zambry berkata, antara perkara lain yang terdapat dalam aku janji tersebut ialah pemberian Simpanan Amanjaya sebanyak RM200 bagi setiap anak dilahirkan di negeri ini dan menaik taraf perkhidmatan Bas Rakyat bagi setiap daerah di Perak.

Katanya, pusat jagaan warga emas yang lebih tersusun akan di bina untuk kebajikan golongan itu selain menwujudkan pusat jagaan kanak-kanak di setiap jabatan dan agensi kerajaan.

“Peruntukan RM3 juta setahun akan disediakan untuk pengurusan jenazah golongan orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, Orang Asli dan warga emas kurang berkemampuan.

“Sebuah balai polis bergerak akan dibina setiap daerah dan menambah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Zambry seterusnya yakin rakyat negeri tersebut akan meneliti aku janji yang ditawarkan BN sebagai sesuatu realistik untuk dilaksanakan.

Selain diedarkan secara meluas di seluruh negeri oleh Skuad Konvoi Pemuda BN, butiran terperinci Aku Janji BN Perak boleh dilayari di laman web http://www.perak4u.com.

No comments:

Post a Comment