Translate

Tuesday, April 23, 2013

BN Perak janji sediakan 50,000 peluang kerja

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


PADANG RENGAS - Barisan Nasional (BN) Perak menggariskan 11 teras utama dalam manifesto atau aku janji negeri yang merupakan kesinambungan gagasan Perak Aman Jaya iaitu pelan jangka panjang pembangunan negeri yang menjanjikan 50,000 peluang pekerjaan.
Bertemakan 'BN Untuk Anda', manifesto berkenaan merangkumi 82 perkara bagi meneruskan agenda membela nasib rakyat selain memantapkan pembangunan ekonomi negeri itu.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, teras utama manifesto BN Perak adalah kesejahteraan rakyat, perumahan rakyat, memacu ekonomi, keselamatan dan ketenteraman rakyat, pembangunan seimbang, masyarakat berkemahiran, berilmu dan berintegriti, kecekapan penyampaian, memelihara toleransi beragama, mengantarabangsakan negeri dan meningkatkan peranan wanita.
Menteri Besar Perak itu berkata, antara perkara yang terkandung dalam manifesto itu adalah menaikkan had kelayakan memohon dermasiswa daripada pendapatan isi rumah RM1,500 kepada RM3,000 sebulan dan memperuntukkan RM350 sebulan kepada setiap anak yatim dan warga tua yang menetap di rumah anak yatim serta pusat jagaan warga emas berdaftar.
"Bagi memacu ekonomi Perak, Pulau Pangkor akan diisytihar sebagai Kawasan Bebas Cukai dan Zon Ekonomi Khas di lima kawasan iaitu Kamunting, Kampar, Pantai Remis, Teluk Intan-Bagan Datoh dan Lekir-Pasir Panjang.
"Dasar pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu sebulan yang telah diberikan kepada golongan miskin akan diperluaskan kepada masjid, surau, kuil, tokong dan rumah ibadat lain yang berdaftar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Manifesto BN Perak di pekarangan Pejabat UMNO Padang Rengas di Cenderoh di sini semalam.
Zambry berkata, manifesto BN Perak itu memberi jaminan kerajaan yang bakal dibentuk kelak adalah inklusif dan menjamin keadilan, stabil, memiliki kakitangan awam yang efektif, berintegriti dan cekap, mesra pelabur dan terbuka serta mesra rakyat.

No comments:

Post a Comment