Translate

Friday, April 26, 2013

Beri Najib mandat lebih besar

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

PARIT - Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat menggunakan peluang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) untuk memberi mandat lebih besar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan itu wajar untuk memastikan kelangsungan dasar-dasar BN dalam membela nasib rakyat di negara ini.
"Bagi saya, rakyat wajar memberi mandat yang besar sebab kita semua tahu, beliau (Najib) bekerja keras dengan mengutamakan pembangunan untuk semua lapisan rakyat," katanya.
Muhyiddin menyatakan demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 5,000 orang pada majlis perasmian kompleks Pejabat Kesihatan Daerah Perak Tengah di sini semalam.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Puhat Nayan; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Awam), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan.
Hadir sama calon BN bagi Parlimen Parit, Datuk Mohd. Zaim Abu Hassan; calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja, Mohd. Nizar Zakaria dan calon BN DUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim.
Muhyiddin menarik perhatian bahawa rakyat perlu mempertahankan pemerintahan BN kerana segala dasar yang dilaksanakan parti itu selama ini terbukti memberikan banyak manfaat kepada mereka.
Katanya, dasar yang disusun oleh kepimpinan negara di bawah BN begitu rapi dan teratur, sekali gus menghasilkan natijah terbaik untuk rakyat.
"Rakyat jelata harus ke depan pertahankan dasar itu bukan kerana BN tetapi pentingnya dasar itu diteruskan untuk menjaga maslahah dan kebajikan rakyat.
"Mempertahankannya tidak lain tidak bukan adalah menerusi peti undi pada PRU-13 ini," katanya.
Di Sitiawan, Muhyiddin ketika berucap pada program Himpunan Rakyat menegaskan, slogan 'ubah' dan 'ini kalilah' yang dilaungkan pembangkang bagi mempengaruhi pengundi untuk menukar kerajaan pada PRU-13 tidak perlu dilayan.
Beliau menjelaskan, BN bukanlah kerajaan yang teruk kerana ia selama ini terbukti telah menjalankan amanah memakmurkan negara sepanjang lebih 50 tahun diberi mandat mentadbir Malaysia.
"Ada banyak sebab mengapa rakyat negara ini perlu mengekalkan kerajaan sedia ada, antaranya Malaysia kekal sebagai negara yang aman dan tenteram.
"Kedua, hubungan istimewa pelbagai kaum dan keturunan di negara ini yang bersatu-padu.
"Ketiga, BN telah menunaikan tanggungjawab dan janji-janji untuk memakmurkan negara," katanya.
Beliau memberitahu, semua itu tidak mungkin berlaku dengan sendirinya melainkan kesungguhan daripada kerajaan BN yang memikul amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan rakyat.

No comments:

Post a Comment