Translate

Monday, April 22, 2013

Padah kemaruk hendak berbini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Gara-gara kemaruk hendak berbini, seorang lelaki bukan sahaja tergamak memalsukan surat tawaran jawatan konstabel polis malah, sanggup mengatur satu temu duga palsu bagi mengambil hati keluarga bakal isterinya dalam kejadian di sini baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, lelaki berusia 35 tahun itu turut mengaku sebagai anak saudara Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan dan memalsukan surat tawaran jawatan konstabel yang kononnya ditandatangani oleh Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam.
Bagi memastikan penipuannya berjalan lancar, suspek turut membawa adik perempuan bakal isterinya itu ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Zon Selatan di Bakri, Muar, Johor pada awal bulan ini untuk menjalani temu duga.
Bagaimanapun, penipuan licik suspek akhirnya terbongkar apabila saudara gadis berusia 18 tahun tersebut membawa surat berkenaan kepada Thaiveegan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam pada 5 April lalu selepas merasa curiga.
Adik teman wanita suspek merupakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Superintendan Maszely Minhad berkata, penipuan itu dilakukan kerana suspek sedang berusaha untuk mengahwini teman wanitanya yang merupakan kakak mangsa.
Katanya, suspek turut membantu mangsa mengisi borang permohonan palsu secara manual di rumah remaja itu di Taman Lawan Kuda Bharu, Gopeng pada 8 Januari lalu.
“Suspek turut menunjukkan surat tawaran kemasukan konstabel wanita dan memberitahu lepasan SPM layak untuk ditemuduga tetapi perlu menjalani ujian kesihatan di hospital kerajaan kira-kira dua minggu kemudian.

"Suspek turut membawa mangsa dan ibunya ke Pulapol di Bakri namun kemudian memberitahu yang gadis itu telah gagal ujian kesihatan dan perlu menjalani ujian semula di Klinik Kesihatan Maharani, Muar," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, selepas selesai, mangsa dan ibunya kemudian telah singgah di rumah saudara mereka di Ampang, Selangor. Saudara mereka yang curiga melihat surat tawaran tersebut kemudian telah membawa remaja itu berjumpa Thaiveegan untuk mendapatkan kepastian.

Menurut Maszely, pegawai kanan polis itu kemudian mengesahkan temu duga itu palsu dan mengatakan dia tiada apa-apa hubungan kekeluargaan dengan suspek.

"Suspek kemudian ditahan di sebuah restoran di Brickfields, Kuala Lumpur pada pukul 11.30 pagi, 9 April lalu selepas menerima laporan polis yang dibuat mangsa," katanya.

Ujar Maszely, siasatan mendapati suspek telah menulis jawatan Paramasivam sevbagai Ketua Penolong Pengarah Latihan Bukit Aman sedangkan beliau menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Perak.

No comments:

Post a Comment