SEKURANG-KURANGNYA 80 peratus pemain skuad Perak akan dikekalkan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia pada musim depan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, biarpun sekadar berada di tempat keenam saingan Liga Super dan mara ke suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia musim ini, beliau tetap berpuas hati dengan prestasi kebanyakan pemain skuad Seladang musim ini.
"Hanya sekitar 20 peratus pemain sedia ada yang gagal menyerlah akan digugurkan, manakala selebihnya dikekalkan.
"Begitupun, selain beberapa pemain Piala Presiden berpotensi yang akan dinaikkan pangkat, sekurang-kurangnya tujuh termasuk dua pemain import akan diserap untuk memperkukuhkan lagi pasukan pada musim depan," katanya kepada pemberita semalam.
Zainol Fadzi berkata, setakat ini, dua pemain masing-masing dari Selangor dan Kuala Lumpur telah menyatakan persetujuan untuk menjarung jersi Perak pada musim depan.
Menurut beliau, pemain terbabit yang tidak dinyatakan identiti itu dijangka akan menandatangani perjanjian dengan skuad Seladang setelah kontrak mereka dengan pasukan masing-masing berakhir pada bulan depan.
"Selain itu, kita saedang mengintai beberapa pemain import berpotensi daripada Liga Arab, Afrika dan beberapa negara jiran khususnya Indonesia dan Thailand.
"Pengurus pasukan, Khairul Azwan Harun dan jurulatih, Norizan Bakar telah diberi tanggungjawab untuk memilih pemain baru terbabit," katanya.
Dalam perkembangan sama, Zainol Fadzi mendedahkan sekurang-kurangnya sembilan pemain Perak musim ini telah cuba dipancing oleh pasukan-pasukan lain.
Namun, beliau yakin semuanya akan kekal di Ipoh memandangkan mereka masih mempunyai baki kontrak sehingga akhir 2012.
Sebelum ini, dua pemain pinjaman Perak, Mohd. Failee Mohd. Ghazali (USM) dan Muhamad Rafiuddin Mohd. Roddin dari skuad Harimau Muda A telah ditawarkan kontrak kekal setelah beraksi cemerlang pada saingan Piala Malaysia 2011.
No comments:
Post a Comment