IPOH - Lebih 25,000 pencari kerja menyerbu Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) 2011 peringkat negeri Perak di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini yang berakhir semalam.
Ketua Pemuda BN Perak, Khairul Azwan Harun berkata, sambutan menggalakkan itu di luar jangkaan memandangkan hanya 8,000 peluang pekerjaan ditawarkan pada karnival itu.
"Berdasarkan pangkalan data kami, kebanyakan pencari kerja bukan sahaja golongan penganggur dan lepasan institusi pengajian tinggi tetapi juga mereka yang mahu mencari peluang kerjaya lebih baik," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Karnival selama dua hari yang julung-julung kali diadakan itu dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Khairul Azwan berkata, karnival tersebut melibatkan 115 agensi daripada sektor awam dan swasta seperti Kencana Petroleum Berhad, Firefly Sdn. Bhd., Finisar (M) Berhad, The Banjaran Hot Retreat Hotels dan KFC Holding Berhad.
Berikutan sambutan hangat itu, katanya, Pemuda BN Perak merancang untuk menganjurkan lebih banyak program seumpama itu bagi membantu rakyat di Perak mendapatkan pekerjaan bersesuaian.
Sementara itu, seorang pencari kerja, Alias Zulkifli, 25, dari Manjung menghargai usaha Pemuda BN mengadakan karnival itu bagi membantu golongan pencari kerja sepertinya mendapat pekerjaan.
Dia yang merupakan graduan Sarjana Muda Sains Pertanian Universiti Putra Malaysia berharap penantiannya untuk mencari pekerjaan tetap sejak tahun lalu akan berhasil melalui karnival itu.
Salimah Harun, 30, yang merupakan seorang kerani di sebuah syarikat swasta di Tasek di sini pula berharap dapat meningkatkan kerjayanya melalui pekerjaan baharu yang lebih baik di karnival berkenaan.
No comments:
Post a Comment