Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
KESERONOKAN dan tumpuan jelas ditunjukkan lebih 40 murid ketika berlangsungnya Klinik Hoki TNB di Ringlet, Cameron Highlands baru-baru ini.
Murid-murid Tahun Empat daan Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Ringlet ini mendengar dengan penuh minat dan berlatih bersungguh-sungguh dengan beberapa kemahiran asas bermain hoki yang ditunjuk ajar oleh jurulatih-jurulatih berpengalaman TNB.
Walaupun jauh dari bandar besar, mereka tidak dipinggirkan dalam pembangunan sukan anjuran syarikat utiliti negara bagi menyokonmg salah satu kriteria program Pintar kendalian Khazanah Nasional. Program tersebut bertujuan mengasah bakat murid agar bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malah kokurikulum.
Tidak mengira jantina dan keturunan, para murid ini turut disumbangkan peralatan hoki baru seperti kayu hoki, bola hoki dan set penjaga gol dalam membantu usaha menjejak 'permata' baru yang boleh digilap sebagai pelapis pemain pada masa hadapan.
Murid Orang Asli, Kivib a/l Dali, 11, menyimpan harapan yang besar untuk beraksi di peringkat antarabangsa sebagai pemain kebangsaan.
"Saya berazam untuk bergiat aktif dalam sukan hoki dan menanam cita-cita untuk menyarung jersi negara apabila dewasa kelak," katanya.
Cita-cita ini turut dikongsi rakannya, Edrul a/l Azril, 11.
"Saya harap dapat beraksi di Sukan Olimpik bersama skuad hoki kebangsaan suatu hari nanti. Kami seronok mendapat latihan daripada jurulatih TNB," ujarnya.
Murid-murid ini sememangnya bertuah kerana mendapat tunjuk ajar dari pemain dan bekas pemain hoki kebangsaan yang merupakan kakitangan TNB.
Antaranya, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, Lailin Sallehin Abdul Ghani, Hayazi Haroon, Mohd. Fairuz Wanazir dan Yuwana Abd. Rahman.
Lailin berkata, berdasarkan pemerhatiannya, beliau optimis beberapa bakat baru daripada komuniti Orang Asli telah ditemui.
Beliau yang juga Penolong Jurulatih skuad hoki remaja kebangsaan itu memberitahu beberapa murid Orang Asli berkenaan mempunyai susuk badan, skil, stamina dan semangat yang sesuai untuk membarisi skuad kebangsaan pada masa depan.
"Biarpun ada beberapa pelatih terbabit baru pertama kali memegang kayu hoki, mereka cepat mahir dan menunjukkan kebolehan bermain dalam masa yang singkat.
"InsyaAllah jika terus digilap dan dibimbing, pelatih lelaki dan perempuan itu boleh pergi jauh dan tidak mustahil menjadi Orang Asli pertama mewakili negara dalam sukan hoki," katanya.
Bagi seorang lagi murid Orang Asli, Fachrul Nisa Amrol, 11, peluang berlatih dengan lagenda hoki negara ini umpuma mimpi menjadi kenyataan.
"Selama ini saya hanya dapat lihat mereka di kaca televisyen, latihan ini amat berharga dan saya akan ingat sampai bila-bila," katanya.
Murid 10 tahun, C. Nettie Natasha pula berkata, walaupun pertama kali memegang kayu hoki, dia mendapati sukan tersebut amat menarik dan menyeronokkan.
Menurut Guru Besar SK Ringlet, Ismail Bakar, kelab hoki SK Ringlet hanya wujud seleps penglibatan sekolah berkenaan dalam program Klinik Hoki TNB. Semua peralatan hoki sekolah juga adalah sumbangan GLC tersebut.
"Pelatih untuk klinik hoki tersebut dipilih daripad murid berpotensi untuk membawa cabaran Cameron Highlands di peringkat daerah pada tahun hadapan," tambahnya.
Seramai 700 pelajar dari 25 sekolah yang merupakan sekola angkat program Pintar TNB seluruh negara telah diberi pendedahan dalam sukan hoki sejak program Klinik Hoki TNB bermula pada 2009.
Lailin memberitahu TNB bangga beberapa pasukan hoki sekolah terbabit telah menunjukkan peningkatan baik di peringkat daerah dan negeri.
"Malah ada di kalangan pelatih sudah diserap untuk mewakili daerah dan negeri masing-masing," katanya.
Sepanjang sejam 30 minit klinik tersebut berlangsung di SK Ringlet, murid-murid diajar beberapa kemahiran asas bermain hoki seperti teknik memegang kayu hoki yang betul, menimbang bola hoki, mengawal bola hoki sambil berlari, menggelecek dan mengambil pukulan sudut penalti.
"Terima kasih kepada jurulatih. Kami hargai ilmu bermain hoki yang diberikan," ucap S. Kichen,10, terhadap kesediaan jurulatih TNB mencurah pengalaman kepadanya dan rakan-rakan lain.
No comments:
Post a Comment