Translate

Friday, October 21, 2011

Kellie's Castle naik taraf jadi istana klasik baharu

 BATU GAJAH - Istana kota tinggalan peladang getah terkemuka British yang menjadi tumpuan pelancong,  Kellie 's  Castle  di sini akan berubah wajah menjadi 'istana klasik sebenar' pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, ruang dalaman  Kellie 's  Castle  yang selama ini kosong akan diubah suai termasuk dihiasi dengan perabot antik awal kurun ke-20.

"Kerja-kerja hiasan dalaman ini akan menjadikan istana kota tinggalan William  Kellie  Smith yang kini berusia 101 tahun ini benar-benar sebagai istana bangsawan Inggeris," katanya selepas mengadakan lawatan kerja di  Kellie 's  Castle  dan lokasi kapal korek bijih timah Tanjung Tualang di sini semalam.

Hamidah berkata, selain pengubahsuaian hiasan dalam yang menelan belanja RM1.2 juta, projek peningkatan kemudahan pelancongan di  Kellie 's  Castle  itu turut melibatkan pembinaan kemudahan baru seperti tempat letak kereta dan bas, gerai, mini teater dan surau.

Menurut beliau, kerja-kerja naik taraf yang dijangka siap pada Oktober 2012 itu dijangka bakal menarik lebih ramai pengunjung ke istana kota itu yang kini dianggarkan berjumlah 66,000 orang setahun.

"Selain nilai sejarah dan seni bina bangunan yang unik,  Kellie 's  Castle  terkenal sebagai lokasi penggambaran filem dan drama.

"Selain itu saya difahamkan, ramai juga pasangan pengantin mengabadikan foto perkahwinan mereka di sini," katanya.

Hamidah memberitahu, biarpun akan mengalami proses naik taraf dalam masa setahun,  Kellie 's  Castle  akan terus dibuka kepada awam.

No comments:

Post a Comment