Translate

Saturday, February 14, 2009

BPA jumpa rakyat di Taiping esok

IPOH - Orang ramai khususnya penduduk sekitar Taiping yang menghadapi masalah mendapatkan dokumen pengenalan seperti tiada kad pengenalan dan surat beranak disaran tampil menyertai program Biro Pengaduan Awam ( BPA ) Bersama Masyarakat esok.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah berkata, program berkenaan akan diadakan di Dewan Kampung Rukun Tetangga Larut Tin, Taiping dari pukul 10.30 pagi hingga 4 petang.

Menurutnya, penganjuran program berkenaan berikutan banyak aduan yang diterima mengenai masalah tersebut khususnya di kalangan penduduk miskin dan kurang berpelajaran sekitar Taiping.

"Saya memang orang Taiping . Baru-baru ini, semasa saya balik kampung di Trong, Taiping , ramai penduduk bandar secara peribadi menemui saya mengadu masalah tidak mempunyai kad pengenalan dan surat beranak.

"Sehubungan itu, BPA mengambil inisiatif mengadakan program khas untuk mengatasi masalah itu dan saya sendiri akan turun padang pada hari tersebut," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Murugiah berkata, berdasarkan bancian secara rawak yang dijalankan pihaknya baru-baru ini, dianggarkan sekurang-kurangnya 300 penduduk bandar berkenaan menghadapi masalah tersebut.

Beliau berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan terlibat secara langsung dalam program berkenaan dan berjanji untuk membantu individu terlibat bagi mendapatkan dokumen pengenalan mereka.

No comments:

Post a Comment