Translate

Tuesday, February 10, 2009

Ahli Parlimen Bukit Gantang meninggal


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BATU GAJAH - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharum (gambar), 50, daripada Pas meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu, Roslan yang juga Pengerusi Yayasan Perak diserang penyakit itu ketika mengayuh basikal yang dipinjamnya daripada pemilik stesen minyak di tengah-tengah pekan di sini untuk ke kedai farmasi berhampiran bagi membeli ubat.

Isterinya, Safiah Harun, 50, berkata, Roslan mengadu keletihan sejurus pulang dari kediaman rasmi Menteri Besar Perak selepas menemui Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada kira-kira pukul 1.30 pagi semalam.

"Sebelum itu, kami sekeluarga bercuti di Cameron Hinglands selama dua hari sejak Sabtu lalu. Beliau ada mengadu letih dan bercadang untuk membeli ubat bagi mengatasi masalah tersebut di sebuah farmasi di pekan Batu Gajah.

"Suami saya ada memberitahu mahu mencuci keretanya terlebih dahulu di sebuah stesen minyak di sini sebelum ke farmasi tersebut. Tahu-tahu sahaja saya terima panggilan kira-kira pukul 11 pagi, beliau rebah tak jauh dari stesen minyak terbabit," katanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Batu Gajah (HBG) di sini semalam.

Safiah memberitahu, beliau dberitahu sementara menunggu kereta arwah suaminya siap dicuci, Roslan meminjam basikal daripada pemilik stesen minyak terbabit untuk ke farmasi yang berada tidak jauh dari situ.

Namun menurutnya, tidak sampai beberapa meter mengayuh basikal berkenaan, Roslan rebah dan dibantu orang ramai. Beliau dipercayai meninggal dunia sebelum sempat di bawa ke HBG.

"Suami saya pernah jatuh pengsan ketika melakukan lawatan kerja di Taiwan kira-kira sebulan lalu dan dinasihatkan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital. Namun beliau tidak pernah berkesempatan kerana terlalu sibuk dengan tugasnya sebagai Ahli Parlimen," katanya.

Jenazah Roslan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Changkat Larang di sini kira-kira 6 petang semalam.

Roslan meninggalkan 10 anak berusia antara 9 dan 23 tahun. Mereka sekeluarga menetap di Desa Pinjim Changkat Larang di sini.


No comments:

Post a Comment