Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan AZLI ADLAN
IPOH - "Bukan saya tidak mahukan PKR (Parti Keadilan Rakyat), tetapi mereka yang tidak perlukan saya."
Demikian penjelasan ringkas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi berhubung pendiriannya keluar daripada parti itu semalam.
Menurutnya, tidak timbul soal dia menerima apa jua imbuhan daripada mana-mana pihak dan tindakannya keluar daripada PKR dibuat atas kerelaan sendiri.
"Tiada siapa desak atau pengaruhi saya dan jangan kaitkan saya dengan ganjaran atas tindakan ini. Saya lebih selesa jika menjadi wakil rakyat bebas," katanya ketika dihubungi Kosmo! lewat petang semalam.
Tambahnya, meskipun belum menghantar surat rasmi pengundurannya daripada PKR, beliau mendakwa sudah pun menandatangani sekeping surat memaklumkan keputusannya tersebut kepada Ibu Pejabat PKR Pusat.
"Buat apa nak buat macam itu (sertai PKR) sebab saya sudah tiada tempat di PKR. Orang tak hendak, kenapa kita nak pula.
"Bagi saya tindakan PKR menghantar surat peletakan tanpa bertarikh yang ditandatangani 8 Mac 2008 kepada Speaker DUN Perak, V. Sivakumar menunjukkan jelas parti itu mahu membuang saya dan ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Osman Mohd. Jailu," katanya.
Jamaluddin juga memaklumkan sekarang berada di Kuala Lumpur namun enggan menyatakan lokasi tempat beliay 'berehat' sekarang.
"Saya belum pulih sepenuhnya (daripada sakit belakang), biarlah saya berehat dulu, kalau saya jumpa media lain pula jadinya," jelasnya.
Beliau juga mengecam kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang mendesak beliau dan Osman segera keluar dari persembunyian dan berdepan dengan pemimpin kerajaan negeri Perak.
"Hai, dulu beria-ia kata kononnya saya dan Osman hantar surat peletakan jawatan kepada Sivakumar pada 5.45 petang Ahad lalu. Sekarang dakwa kami dan enam hari menyorok pula," katanya secara menyindir.
Bagaimanapun Osman sehingga malam semalam masih gagal dihubungi dan status keahliannya bersama PKR masih menjadi tanda tanya.
No comments:
Post a Comment