Translate

Sunday, February 22, 2009

Nizar kosongkan rumah hari ini

IPOH – Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin akan mengosongkan Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak di sini hari ini.

Menurutnya, beliau dan keluarga akan berpindah di rumah sewa baru yang juga terletak di bandar raya ini namun enggan mendedahkan lokasi sebenar.

“Kami dijangka meninggalkan Kediaman Rasmi ini antara pukul 10 pagi hingga 11 pagi esok (hari ini),” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Nizar berkata, beliau mula memindahkan peralatan dan barangan peribadinya ke rumah sewa sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! Ahad semalam mendapati walaupun kediaman rasmi tersebut masih dikawal beberapa anggota Unit Amal Pas, namun suasananya agak lengang berbanding sebelum ini.

Pintu pagar utama premis tersebut yang sebelum ini ditutup rapi sudah mula dibuka luas tanpa kawalan ketat daripada anggota unit itu lagi.

Kosmo! pada 13 Februari lalu melaporkan Nizar yang berkeras akhirnya akur untuk meninggalkan KediamanRasmi Menteri Besar.

Ia dibuat selepas Nizar menerima notis pengosongan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim.

Nizar memohon tempoh 10 hari untuk berbuat demikian bagi membolehkan beliau dan keluarganya membawa keluar barangan peribadi dari premis berkenaan.

Tempoh itu diminta bagi membolehkan Nizar mencari rumah sewa untuk diduduki keluarganya di Rapat Setia, Gunung Rapat di sini memandangkan seorang anak perempuannya bersekolah di kawasan tersebut.


No comments:

Post a Comment