Translate

Wednesday, February 11, 2009

Mohammad Nizar dihalang ‘lapor diri ke pejabat MB’

IPOH – Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang enggan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perak dihalang daripada memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini semasa beliau cuba ‘melapor diri untuk bekerja’ pagi semalam.

Mohammad Nizar bersama-sama bekas Exco kerajaan negeri daripada Pakatan Rakyat, termasuk Datuk Ngeh Koo Ham daripada DAP, tiba dengan beberapa buah kereta pada pukul 11 pagi dan disambut oleh kira-kira 40 penyokong.

Bagaimanapun, semasa mereka tiba di pintu utama, polis menghalang mereka daripada masuk.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias kemudian menasihatkan Mohammad Nizar dan kumpulan supaya bersurai kerana kehadiran mereka menyebabkan kesesakan trafik.

“Saya minta Datuk Seri (Mohammad Nizar) dan penyokong agar beri kerjasama kepada pihak polis dengan segera beredar dari sini dan tidak menimbulkan kekecohan mahupun menghalang lalu lintas,” beritahu Azisman kepada Mohammad Nizar.

Biarpun Mohammad Nizar cuba memberi alasan beliau dan barisan 'Exco'nya perlu menghadiri Hari Bertemu Pelanggan yang dijadualkan berlangsung di bangunan tersebut semalam, namun ia tetap tidak dibenarkan Azisman.

Akhirnya, bekas Menteri Besar Perak itu terpaksa akur dan meminta penyokongnya pulang ke Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak yang terletak di Jalan Raja Dihilir di sini.

Mohammad Nizar kemudian memberitahu pemberita yang beliau akan terus menjalankan tugasnya dari kediaman Menteri Besar yang beliau enggan kosongkan walaupun Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baru pada Jumaat.

Sebelum itu, Mohammad Nizar dilihat sampai di perkarangan pagar pintu masuk bangunan tersebut dengan kenderaan rasmi kerajaan negeri Perak, Toyota Camry bernombor plat AGS 10 pada kira-kira pukul 11.05 pagi.

No comments:

Post a Comment