IPOH - Setelah kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak, bekas Menteri Besarnya, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menjadi satu-satunya bekas pemimpin kerajaan negeri itu yang masih belum memulangkan kenderaan rasmi, Toyota Camry 2.4 bernombor plat AGS 10.
Beliau bertegas untuk terus menggunakan kereta itu kerana mendakwa masih lagi Menteri Besar yang sah.
"Saya akan terus menggunakan kenderaan rasmi dan duduk di kediaman rasmi Menteri Besar sehingga saya menghantar surat rasmi peletakan jawatan atau hilang majoriti pada sidang Dewan Undangan Negeri.
"Esok (hari ini) saya akan terus menggunakan Toyota Camry tersebut untuk ke pejabat," katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini semalam.
Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Rahman Hashim telah mengarahkan semua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri memulangkan aset milik kerajaan termasuk kenderaan rasmi yang baru dibeli kira-kira sebulan lalu.
Arahan itu sudah dipatuhi oleh 10 bekas Exco Pakatan Rakyat (PR) yang telah memulangkan kenderaan mereka melainkan Mohammad Nizar.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati semua 10 Toyota Camry yang baru dibeli kira-kira sebulan lalu itu telah dipulangkan mulai petang kelmarin dan kini berada di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
No comments:
Post a Comment