KUALA KANGSAR - Biarpun pelbagai usaha dibuat untuk menggagalkan pelantikan Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir akhirnya secara rasmi mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini kira-kira pukul 4 petang semalam.
Majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV1.
Hadir pada majlis itu ialah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, bekas-bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali serta kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan tiga ADUN Bebas yang menyokong BN.
Bagaimanapun, tiada seorang pun ADUN Pakatan Rakyat termasuk ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin kelihatan pada majlis itu.
Difahamkan mereka memboikot upacara tersebut sebagai membantah cara Zambry diangkat sebagai Menteri Besar yang baru.
Majlis mengangkat sumpah barisan Exco Kerajaan Negeri yang baru pula akan berlangsung di sini pada Selasa depan.
Pelantikan Zambry, 47, yang merupakan ADUN Pangkor adalah penyelesaian kepada kemelut politik di Perak apabila kerajaan Pakatan Rakyat hilang majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri setelah tiga orang anggotanya keluar parti dan bertindak sebagai ADUN Bebas menyokong BN manakala seorang lagi kembali menyertai BN.
Kini, pembangkang hanya diwakili 28 ADUN manakala BN termasuk calon Bebas yang menyokong BN mempunyai 31 anggoga dalam DUN.
Ekoran itu Sultan Perak dalam keputusan baginda semalam menolak permohonan kerajaan Pakatan Rakyat membubarkan DUN Perak sebaliknya baginda menitahkan supaya Mohammad Nizar serta barisan Exco Kerajaan Negeri pimpinannnya meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta kerana tidak lagi mempunyai kepercayaan anggota dewan.
No comments:
Post a Comment