Translate

Saturday, February 7, 2009

Perusuh kepung Raja Nazrin, Zara



Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI, AZLI ADLAN dan NAZATUL SHIMA RAZALI
berita@kosmo.com.my

KUALA KANGSAR - Benarkah sebilangan rakyat Perak kini sudah tidak menghormati raja mereka dek mengikut emosi selepas dihasut oleh sesetengah pemimpin politik?

Namun itulah yang berlaku di bandar diraja ini petang semalam apabila 3,000 penyokong Pakatan Rakyat mengikut kata hati bertindak liar merusuh termasuk tergamak menghalang kereta Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah daripada meneruskan perjalanan ke Istana Iskandariah.

Ada yang bagaikan hilang pertimbangan dengan sanggup berbaring di depan kereta Raja Nazrin kerana sukar menerima hakikat bahawa Pakatan Rakyat kini sudah kehilangan kuasa di Perak. Isteri Raja Nazrin, Raja Puan Besar Zara Salim turut berada dalam kenderaan itu.

Kekecohan berlaku ketika Raja Nazrin dan beberapa kereta rasmi orang kenamaan sedang dalam perjalanan ke upacara angkat sumpah Menteri Besar baru Perak di laluan utama menuju ke Istana Iskandariah berhadapan Masjid Ubudiah di sini semalam.

Perhimpunan haram Pakatan Rakyat tersebut dipercayai dirancang bagi menghalang upacara mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir yang dijadualkan berlangsung pukul 3.30 petang.

Meskipun pihak polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah pun berkumpul di kawasan tersebut termasuk mengadakan sekatan lalu lintas di pintu gerbang Bukit Chandan di sini sejak pukul 11 pagi, kira-kira 3,000 individu terbabit secara tiba-tiba 'menyerbu' laluan utama tersebut.

Perhimpunan itu yang kemudian bertukar rusuhan dilakukan sejurus selesai solat Jumaat di masjid berkenaan kira-kira pukul 2.15 petang.

Pada mulanya mereka menjerit 'Ampun Tuanku, mohon bubar DUN Perak' tetapi keadaan mula tidak terkawal apabila ada yang mengeluarkan kata-kata yang memaki hamun dan bahasa kesat.

Tidak sampai 10 minit selepas itu, tanpa sebarang provokasi ada dikalangan perusuh terbabit mula membaling batu dan kayu di arah anggota FRU.

Tanpa menghiraukan arahan supaya bersurai, kumpulan perusuh kemudian terus memenuhi sebahagian besar laluan berhadapan masjid terbabit.

Polis tidak mempunyai pilihan terpaksa melepaskan gas pemedih mata namun sebahagian besar perusuh enggan beredar.

Pada ketika itulah beberapa kenderaan yang membawa orang kenamaan termasuk Raja Nazrin dihalang daripada meneruskan perjalanan ke Istana Iskandariah yang terletak kira-kira dua kilometer dari kawasan berkenaan.

Selain kenderaan Raja Nazrin, kereta yang membawa Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Tan Lian Hoe, Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Musa juga menjadi mangsa kepungan berkenaan.

Beberapa lelaki dilihat membaringkan diri di tengah-tengah jalan selain ada yang mengetuk-ngetuk pintu dan tingkap kenderaan orang kenamaan termasuk kereta Raja Nazrin sendiri.

Perhimpunan tersebut bagaimanapun berakhir kira-kira 5 petang selepas masing-masing dimaklumkan Zambry telah pun mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baru di Istana Iskandariah di sini.

Ekoran kejadian itu, sembilan lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan, kata Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah pada sidang akhbar malam tadi.

Katanya, selain warga Indonesia, turut ditangkap ialah dua pelajar kolej swasta, seorang tok siak masjid dan lima peniaga.

Kesemua ditahan dipercayai penyokong Pakatan Rakyat yang telah menggunakan masjid berkenaan untuk memulakan perhimpunan haram tersebut.

"Bahkan mereka buukan sahaja datang dari bandar ini malah dari Selangor," kata Zulkifli.

"Saya amat kesal dengan tindakan mereka kerana menjadikan masjid tempat untuk melakukan jenayah. Tujuan utama mereka hanya untuk menggagalkan majlis angkat sumpah Menteri Besar," tambahnya.

Menurut Zulkifli, setelah berulang kali diarahkan bersurai, pihaknya tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata bagi meleraikan perhimpunan yang turut menjadikan wanita sebagai benteng.

Kesemua lelaki itu ditahan dan boleh didakwa di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment