Translate

Thursday, February 19, 2009

Zambry, enam Exco digantung


Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan AZLI ADLAN

berita@kosmo.com.my

IPOH - Politik Perak memasuki satu lagi episod kecoh apabila Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar menggantung Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dan semua Exco kerajaan negeri daripada menghadiri Sidang DUN secara serta-merta mulai semalam.

Sivakumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh mewakili DAP melarang Zambry daripada menghadiri sesi Sidang DUN Perak selama 18 bulan.

Enam Exco kerajaan negeri lain iaitu Hamidah Osman, Zainol Fadzi Paharuddin, Datuk Ramly Zahari, Datuk Shaarani Mohamad dan Mohd. Zahir Abdul Khalid dan Dr. Mah Hang Soon pula digantung selama setahun.

Menurut Sivakumar, kesemua tujuh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu sebelum ini diberi notis saman supaya tampil di hadapan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak berikutan satu aduan yang dibuat oleh ADUN Canning (DAP), Wong Kah Woh.

Kah Woh mendakwa majlis angkat sumpah jawatan Zambry dan Exco baru Perak daripada BN itu bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan menghina DUN kerana Menteri Besar Ke-10, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin belum meletak jawatan secara rasmi.

"Setelah meneliti aduan tersebut, saya telah mendapati satu kes prima facie terhadap Zambry dan enam yang lain," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sivakumar berkata, beliau telah memanggil Zambry dan semua Exco berkenaan untuk memberi penjelasan di hadapan jawatankuasa tersebut.

Bagaimanapun, katanya, tidak seorang pun yang memberi penjelasan kepada jawatankuasa tersebut berhubung tindakan mereka yang didakwa menghina DUN Perak itu.

Dalam pada itu, Zambry dan semua Exco kerajaan negeri Perak dilihat memasuki Bilik Mesyuarat Bahagian Kewangan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini yang menjadi tempat mesyuarat tersebut diadakan kira-kira pukul 3 petang semalam.

Zambry ketika dihubungi berkata, beliau dan enam Exco kerajaan negeri akan mengambil tindakan susulan mengikut peraturan dan undang-undang berhubung tindakan jawatankuasa itu.

Zambry berkata, jawatankuasa tersebut tidak boleh membuat keputusan itu dengan sewenang-wenangnya tetapi sebaliknya perlu membawanya ke sidang DUN terlebih dahulu.

"Keputusan jawatankuasa itu juga adalah menidakkan kuasa Sultan Perak yang membuat pelantikan Menteri Besar dan barisan Exco berkenaan," katanya.

Menteri Besar itu berkata, Sivakumar juga telah melakukan satu penipuan besar apabila mendakwa bahawa beliau dan enam Exco berkenaan telah gagal memberikan sebarang penjelasan dalam mesyuaratr jawatankuasa itu.

Sebaliknya, beliau dan Exco baru Perak telah memberikan penjelasan kepada jawatankuasa tersebut dan turut mengemukakan bantahan awal dengan memberi sebab-sebab mengapa beliau dan enam Exco berkenaan tidak boleh dikenakan tindakan terhadap pertuduhan yang dikenakan.

No comments:

Post a Comment