Translate

Thursday, February 5, 2009

Semua ternanti-nanti siapa MB baru

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Selepas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dan kerajaan Pakatan Rakyat terkunci langkah politiknya semalam, bayangan Barisan Nasional (BN) untuk kembali memerintah Perak mula menampakkan sinar.

Nama-nama besar dalam Barisan Nasional (BN) Perak mula menarik perhatian kerana dalam fikiran ramai, jawatan Nizar itu sudah kosong.

Antara nama yang disebut-sebut ialah dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak asing lagi dalam politik negeri Perak.

Mereka ialah ADUN Manong, Datuk Ramly Zahari dan ADUN Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir. Selain mereka, nama lain ialah Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (Kubu Gajah) dan Datuk Nazari Ismail (Manjoi).

Ramly yang mewakili DUN Manong dalam Parlimen Kuala Kangsar sejak 1999 merupakan antara pemimpin paling kanan UMNO negeri dan memegang jawatan Setiausaha Perhubungan UMNO Perak.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-12, Ramly antara yang paling lantang mengkritik kerajaan Pakatan Rakyat, daripada isu pemberian hak milik kekal tanah kepada penduduk kampung baru Cina dan kampung tersusun serta pembelian Toyota Camry sebagai kenderaan rasmi pemimpin negeri.

Beliau juga dilihat lebih lantang berbanding bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Tajol Rosli yang lebih banyak menyepikan diri.

Raja Ahmad pula mempunyai pengalaman luas di peringkat nasional selaku bekas Ahli Parlimen Larut.

Raja Ahmad pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) selain Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC).

Beliau pernah menjadi Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan kini berkhidmat sebagai Ahli Majlis FAM.

Zambry yang mewakili Pangkor sejak 2004 ialah bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri.

Bekas pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu yang mendapat pendidikan ijazah pertama di UIAM dan ijazah PhD di Universiti Temple, Amerika Syarikat adalah antara pemimpin pelapis yang berpandangan jauh dalam membela nasib rakyat Perak.


No comments:

Post a Comment