Translate

Sunday, February 14, 2010

Tiga lelaki nafi bakar gereja

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING - Tiga tertuduh kes khianat menggunakan api ke atas dua buah gereja dan sebuah sekolah di sini pada 10 Januari lalu membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Andidi Rosidi, 22, Abdul Fatah Shaharuddin, 29, dan Muhammad Abdul Wahab, 20, yang semuanya penganggur membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Termizi. Mereka diwakili peguam Dr. Naran Singh.

Terdahulu kes tersebut yang sebelum ini dikendalikan oleh Mahkamah Majistret telah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen setelah dibenarkan Majistret Syarifah Izura Syed Mashor.

Meor Sulaiman juga membenarkan wang jaminan RM30,000 bagi setiap tertuduh yang diputuskan Syarifah Izura pada 2 Februari lalu dikurangkan kepada RM5,000 setelah meneliti rayuan Naran dan semua tertuduh perlu melaporkan diri di Balai Polis Taiping di sini pada setiap Sabtu sehingga kes tersebut selesai.

Meor Sulaiman turut menetapkan kes disebut semula pada 9 April ini.

Ketiga-tiga lelaki itu dituduh di bawah Sesyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau didenda jika sabit kesalahan.

Seorang lagi tertuduh Muhammad Azreen Rosli, 18, yang diletakkan di Sekolah Akhlak Silibin, Ipoh akan dihadapkan di Mahkamah Juvana di sini atas tuduhan sama pada 24 Mac depan.

Kosmo! pada 3 Februari lalu melaporkan empat penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan melakukan khianat menggunakan api ke atas dua buah gereja dan sebuah sekolah di sini.

Namun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Andidi, Abdul Fatah, Muhammad dan Muhammad Azreen yang pada masa itu masih belum diwakili peguam.

No comments:

Post a Comment