Translate

Friday, February 26, 2010

Kajian sel barah di stesen angkasa lepas hampir siap

SERI ISKANDAR - Laporan hasil eksperimen sel barah yang dijalankan angkasawan pertama negara di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) lebih dua tahun lalu bakal diterbitkan dalam masa terdekat.

Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berkata, kajian tersebut yang melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Uni versiti Sains Malaysia (USM) telah siap 80 peratus.

“Laporan tersebut akan dikeluarkan tidak lama lagi dan ia memang memerlukan dua tiga tahun untuk disiapkan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ceramah motivasi selaku Ikon Membaca kepada kira-kira 1,000 pelajar sempena perasmian Karnival Pusat Sumber Informasi (IRC) 1Malaysia di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar di sini semalam.

Program selama empat hari bermula kelmarin anjuran Rakan IRC dengan kerjasama Perpustakaan Negara itu dirasmikan Pengarah Perkhidmatan Pelajar UTP, Mohamed Noor Rosli Baharom.

Semasa berada 12 hari di ISS mulai 10 Julai 2007, Sheikh Muszaphar menjalankan eksperimen sel barah iaitu leukemia dan hati serta kajian berkaitan gasing, yoyo dan air di angkasa lepas.

Ketika ditanya oleh salah seorang peserta mengenai keperluan negara untuk angkasawan kedua negara melakukan misi berjalan di angkasa seperti pernah dilakukan seorang angkasawan Asia lain pada 2008, Sheikh Muszaphar berkata, ia tidak perlu.

Beliau berkata, selain tidak mungkin mendapat kebenaran kerana negara bukan ahli gabungan ISS, aktiviti berjalan di angkasa tidak signifikan kepada misi angkasa lepas negara.

“Jika kita mahu menghantar seorang lagi angkasawan, kos kira-kira AS$30 juta (RM102 juta) diperlukan. Dengan kos sebesar itu, misi angkasawan kedua perlu lebih objektif dan berbaloi untuk negara.

“Jika misi saya untuk mengubah persepsi rakyat negara ini terhadap industri aeroangkasa, misi angkasawan kedua mesti lebih besar bukan sekadar berjalan di angkasa atau melakukan kajian sama seperti saya lakukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment