Translate

Sunday, February 14, 2010

Potong bukit, penduduk dilanda banjir lumpur

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KAMPAR - Kerisauan penduduk Taman Seri Kampar di sini kemungkinan dilanda banjir lumpur ekoran kegiatan memotong lereng bukit bagi penanaman semula kelapa sawit sejak hampir tiga bulan lalu akhirnya menjadi kenyataan kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, 36 keluarga mengalami kerugian puluhan ribu ringgit apabila kenderaan dan perkakas rumah rosak dilanda banjir lumpur setinggi kira-kira 0.3 meter.

Seorang penduduk, K. Suseela, 38, berkata, sebelum kejadian, dia dan enam anaknya terdengar bunyi kuat dari arah bukit di hadapan rumahnya kira-kira 10 minit selepas hujan mula turun.

"Saya cuba lihat keadaan di luar dengan membuka sedikit pintu rumah dan sebaik sahaja dibuka, arus deras masuk ke dalam rumah membawa lumpur , pasir dan tunggul kayu," katanya kepada Kosmo! semalam.

Suseela berkata, peralatan elektrik seperti televisyen, komputer riba, peti sejuk dan mesin basuh serta pakaian sekolah anak-anaknya turut rosak.

Jirannya, Rosdi Osman, 54, pula memberitahu, banjir melibatkan dua baris rumah dan ia paling buruk sejak taman itu dibuka 20 tahun lalu.

Katanya, selain perabot dan peralatan elektrik, kereta Honda Civic dan dua motosikal miliknya rosak akibat kejadian itu.

Sementara itu, R. Muthalagi, 39, berkata, penduduk telah banyak kali membuat aduan kepada Majlis Daerah Kampar mengenai kegiatan memotong bukit itu tetapi tiada tindakan diambil.

"Jika dibiar berlarutan, ia boleh membahayakan penduduk," katanya.

No comments:

Post a Comment