Translate

Saturday, February 6, 2010

Genap setahun terajui Perak

Dr. Zambry tekad untuk perbanyak program pembangunan

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

HARI ini genap setahun Barisan Nasional (BN) menerajui pemerintahan negeri Perak selepas hampir 11 bulan dikuasai pembangkang.

Sepanjang tempoh itu, Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan, namun segalanya berjaya diatasi berkat kesabaran dan kecekalan beliau.

Kesungguhan Zambry dan barisan Exco ditambah komitmen tidak berbelah bahagi penjawat awam yang berkhidmat di Perak sememangnya diakui banyak pihak.

Sejak setahun lalu, pelbagai pelan pembangunan dilaksana demi mewujudkan sebuah negeri makmur yang sentiasa memandang serius aspek pembangunan.

Rata-rata masyarakat teruja malahan ramai penduduk khususnya di ceruk-ceruk kampung mengakui semakin selesa dengan pelbagai pendekatan mesrarakyat yang dilaksana kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor sekadar merendah diri bahkan mengakui tempoh 12 bulan pertama kepimpinannya bukan sesuatu yang perlu dirai kerana masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.

"Sebelas bulan pertama, misalnya, kita letakkan sebagai tempoh percubaan.

"Genap setahun, kerajaan negeri melangkah ke fasa kedua dan segala komitmen akan dilipat ganda selepas ini," katanya pada satu pertemuan dengan pengamal-pengamal media di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Ipoh baru-baru ini.

Ujarnya, sepanjang tempoh itu, semua pentadbir negeri telah berusaha gigih untuk melaksanakan apa juga perancangan yang dipersetujui.

Rakyat Perak sendiri kini, katanya mampu menilai dengan bijak apa yang telah dilaksanakan dan percaya penerimaan masyarakat berbilang kaum terhadap kepimpinannya semakin meningkat.

"Tidak dinafikan kita menghadapi pelbagai cabaran terutama penerimaan rakyat yang tidak menyokong.

"Namun berdasarkan lawatan saya ke semua daerah semasa mesyuarat mingguan Exco, rakyat kembali menerima dan mengakui komitmen kita," katanya.

No comments:

Post a Comment