Translate

Monday, July 8, 2019

Murid didakwa curi motosikal

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tindakan seorang murid tahun enam sebuah sekolah di Kelantan yang mencuri sebuah motosikal di Pasir Panjang di sini pada minggu lalu membawa padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam.

Tertuduh berusia 12 tahun yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada September depan mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, kanak-kanak itu didakwa mencuri sebuah motosikal jenis Modenas Kriss bernilai RM1,000 di garaj Blok E, Flat Gelong Bilal Jalan Pasir Panjang di sini antara pukul 7.30 malam, 25 Jun lalu hingga 6.30 pagi, 26 Jun lalu.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit ke­salahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L. Rathna, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM1,000. Tertuduh membayar jaminan tersebut.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan 24 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi penyediaan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Difahamkan, tertuduh akan meleraikan komponen motosikal yang dicuri itu yang dijual dengan harga rendah.

Penyu mahu curi mata Semut Merah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU Football Club I (TFC I) akan turun beraksi dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam ini dengan misi untuk mencuri tiga mata daripada lawan mereka, PKNS FC.

Pengendali sementara TFC I, Nafuzi Mohd. Zain meluahkan keyakinannya bahawa pemain-pemain TFC I akan terus mengekalkan prestasi konsisten mereka, sekali gus mampu menumbangkan PKNS FC pada pertemuan berkenaan.

“Saya sedar rekod pertemuan kami dengan PKNS FC terutama di gelanggang lawan tidak berapa baik, namun saya anggap apa yang telah berlaku sebelum ini hanyalah sejarah.

“Strategi dan taktikal ampuh telah diatur bagi menjinakkan lawan kami itu pada aksi malam esok ( hari ini),” kata Nafuzi ketika ditemui di Kuala Terengganu semalam.

Menurut Nafuzi, walaupun skuad kendaliannya masih berdepan dengan krisis kecederaan dan pergantungan beberapa pemain utama, namun motivasi dan persefahaman para pemainnya dilihat sudah semakin baik berbanding sewaktu dia mula mengambil alih skuad Penyu itu pada dua bulan lalu.

Sehubungan itu, dia percaya dengan kemampuan anak-anak buahnya untuk meraih tiga mata penting pada aksi menentang skuad kendalian Datuk K. Rajagopal berkenaan.

“Jangan lepaskan peluang untuk menang. Jika berjaya raih mata dalam aksi ini dan tiga baki perlawanan lain, saya percaya kita mampu menamatkan saingan Liga Super dengan kedudukan lebih baik daripada tempat kelima pada musim lalu,” katanya.

Setakat ini TFC I menghuni tangga ketujuh liga dengan 24 mata dan hanya dibezakan empat mata di belakang Selangor yang kini menduduki tangga keempat.

Sunday, July 7, 2019

15 tan metrik durian dilelong bulan depan

KUALA TERENGGANU – Penggemar durian terutama di sekitar bandar raya ini berpeluang untuk menikmati raja buah tersebut dengan harga murah menerusi penganjuran Jualan Anak Beranak 2.0 anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada awal bulan depan.

Pengarah FAMA Terengganu, Fauzi Mohamed berkata, program yang bakal diadakan di pekarangan pejabat FAMA negeri, Jalan Hiliran di sini itu merupakan kesinambungan penganjuran yang julung-julung kali pada tahun lalu yang mendapat sambutan luar biasa.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman penganjuran sulung tersebut, sebanyak 16 tan metrik durian pelbagai gred habis dijual dalam tempoh dua jam sahaja.

“FAMA bercadang untuk menganjurkan lagi Jualan Anak Beranak ini bagi membolehkan peminat durian di negeri ini menikmati durian pelbagai gred pada harga lebih murah daripada pasaran.

“Walaupun kebanyakan durian di pasaran kini berharga lebih RM10 sekilo, kami akan menjual pada harga lebih murah daripada itu bergantung kepada bekalan,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri peringkat FAMA Terengganu di sini semalam.

Fauzi berkata, kebanyakan durian yang akan dijual tersebut diperoleh sendiri FAMA daripada pengusaha durian tempatan di sekitar Besut dan Setiu serta negeri jiran, Kelantan yang dijangka mula luruh pada bulan ini.

Fauzi berkata, pihaknya menjangkakan lambakan sekurang-kurangnya 15 tan metrik durian bakal dijual pada program sehari ber­kenaan.

Menurut beliau, program jualan durian itu dijangka diadakan pada minggu pertama Ogos depan memandangkan kebanyakan durian di dusun milik pengusaha tempatan berkenaan hanya akan mula luruh pada pertengahan bulan ini.

“Selain durian, pelbagai buah tempatan lain seperti rambutan, manggis dan dokong turut dijual pada harga RM10 untuk tiga kilogram pada Jualan Anak Beranak 2.0  terbabit,” katanya.