Translate

Thursday, October 7, 2010

Kuat kuasa bahasa kebangsaan

AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD.AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini digesa memainkan peranan lebih berkesan dalam membantu kerajaan memperkasa penggunaan bahasa kebangsaan.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kesemua 146 PBT di seluruh negara supaya lebih tegas menguatkuasa Undang-Undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan yang mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam.

“Sekiranya setiap PBT menguatkuasa undang-undang kecil dan garis panduan itu, saya percaya tiada lagi paparan iklan dan penamaan bangunan dan premis yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan.

“Penguatkuasa undang-undang ini juga boleh mengelakkan kesalahan dalam penggunaan bahasa kebangsaan,” katanya semasa melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 di Stadium Indera Mulia di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 berkata, penegasan pelaksanaan dan penguatkuasaan itu adalah sejajar dengan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara seperti terkandung dalam Dasar Bahasa Negara.

Beliau berkata, semua syarikat berkaitan kerajaan, institusi perbankan, kewangan dan insurans perlu mula memberi penegasan penggunaan bahasa kebangsaan terutama dalam dokumen rasmi, papan tanda dan borang-borang yang digunakan.

“Saya juga menyeru kepada semua pemimpin syarikat-syarikat korporat supaya tidak meminggirkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan seharian.

“Ia penting bagi memastikan bahasa kebangsaan kekal relevan dalam dunia perniagaan dan perdagangan hari ini serta mempunyai nilai ekonomi yang tinggi,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri pada majlis itu turut melancarkan portal Pusat Rujukan Persuratan Bahasa http://prpm.dbp.gov.my yang disediakan percuma bagi membolehkan orang ramai boleh membuat carian perkataan dan istilah bahasa Melayu.

Gadis bisu dikhuatiri jadi pengemis

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA KANGSAR – Kehilangan seorang gadis dari kalangan orang kurang upaya (OKU) Nor Yuniza Mohd. Yunus, 22, (gambar) lebih sebulan setengah lalu meresahkan keluarganya kerana dia dikhuatiri dipaksa menjadi pengemis.

Kakaknya, Nor Asrina, 24, berkata, adiknya yang cacat pendengaran dan pertuturan itu didakwa kali terakhir ditemui mengemis di Sungai Udang, Melaka.

Katanya, dia dimaklumkan oleh seseorang yang mendakwa melihat adiknya meminta sedekah di kawasan tersebut sambil dipantau seorang wanita berpurdah dan seorang lelaki pada pukul 1.30 petang, 27 Ogos lalu.

“Nor Yuniza juga didakwa ditemui berada di dalam sebuah van yang turut dinaiki dua individu terbabit pada sebelah malam di Alor Gajah, Melaka,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Perumahan Awam 4, Kenas di sini semalam.

Bercerita lanjut, Nor Asrina berkata, adiknya keluar ke bandar Kuala Kangsar yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya seorang diri tanpa membawa pakaian pada 21 Ogos lalu.

Katanya, adiknya memberitahu keluarga ingin bertemu seorang rakannya di situ.

Bagaimanapun katanya, selepas tidak pulang menjelang malam dan telefon bimbitnya gagal dihubungi, keluarganya membuat laporan polis mengenai kehilangannya.

Sejak itu, ujarnya, usaha untuk mencarinya diteruskan dan dakwaan Nor Yuniza diperangkap sindiket menjadi pengemis amat meresahkan keluarga.

Sementara itu, ibu Nor Yuniza, Nor Jahan Ali Ahmad, 48, berkata, kehilangan anak kedua daripada tiga beradik itu menyebabkan sambutan Aidilfitri keluarga tersebut pada tahun ini hambar.

Katanya, anak Nor Asrina, Mohd. Amir Asy raf, 2, yang selama ini amat rapat dengan Nor Yuniza itu juga murung dan asyik meragam sejak kehilangan ibu saudaranya itu.

Sehubungan itu, Nor Jahan meminta orang ramai yang terserempak dan mempunyai maklumat mengenai maklumat mengenai anaknya itu agar menghubungi Nor Asrina di talian 017-5486691 atau 05-7776117.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supri tendan Abdul Ghaffar Muhammad mengesahkan kes ter sebut dan usaha untuk menjejak Nor Yusrina sedang giat dijalankan.

Pakej perkahwinan di tanah tinggi


IPOH - Ingin mencari kelainan dalam melangsungkan majlis perkahwinan anda dengan mengadakannya di kawasan pelancongan tanah tinggi berhawa dingin di Cameron Highlands, jika ya, sebuah hotel di sana menawarkan pakej perkahwinan yang berpatutan.

Hotel Heritage Cameron Highlands (Hotel Heritage) dekat sini bukan sahaja menawarkan pakej perkahwinan ala Barat tetapi juga akan memenuhi keperluan pelanggan dengan menyediakan pakej yang sama untuk kaum Melayu, Cina dan India.

Lebih menarik lagi, pakej yang ditawarkan adalah serendah RM500 untuk satu meja yang boleh memuatkan seramai 10 orang.

Semua promosi menarik ini boleh didapati sempena Karnival Perkahwinan 1Malaysia yang dianjurkan hotel berkenaan dengan menampilkan pelbagai pakej perkahwinan pelbagai kaum selama dua hari bermula Jumaat ini.

Eksekutif Perhubungan Awam Hotel Heritage, Shamshidar Mohamad Khirudin berkata, karnival yang akan diadakan di hotel berkenaan bermula dari jam 11 pagi hingga 9.30 malam itu bakal disertai lebih 20 agensi seluruh negara.

“Selain mempromosikan pakej perkahwinan hotel berkenaan, ia turut disertai agensi perunding perkahwinan, andaman pengantin dan pelancongan, Karnival Perkahwinan 1Malaysia turut menarik perhatian syarikat telekomunikasi, pengeluar dan pen jual kenderaan, agensi hartanah dan insurans serta kewangan menyertai pameran berkenaan.

“Ia dijangka menjadi pusat sehenti kepada bakal pengantin bukan sahaja bagi majlis perkahwinan mereka malah memulakan kehidupan baru selepas berumahtangga,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Shamshidar antara syarikat dan agensi terlibat dalam karnival itu ialah Bridal World, De Aggun, Love Bridal, Beauty Academy dan Kumpulan BMW Malaysia, Hyundai-Sime Darby Berhad dan Proton Edar Sdn. Bhd.

Jelasnya, selain gerai pameran, karnival tersebut akan diselitkan dengan pertunjukan fesyen pengantin dan bengkel solekan serta dandanan percuma.

Selain itu, beliau menjelaskan, bakal pengantin yang menempah pakej perkahwinan sepanjang karnival terbabit akan ditawarkan baucer penginapan, kad kahwin dan kek perkahwinan secara percuma daripada pengurusan hotel.