Oleh KOSMO!
PETALING JAYA – Sindiket penipuan dalam talian atau scammer kini rancak memburu mangsa dalam kalangan penjawat awam ekoran lebih 1.6 juta pekerja kerajaan itu akan mula menerima gaji pertama mengikut pelarasan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) esok.
Dakwaan itu mungkin berasas apabila sebahagian penjawat awam mula rimas apabila menerima beberapa panggilan daripada scammer sejak dua minggu lalu yang mencuba pelbagai helah untuk menipu.
Gaji pertama mengikut SSPA yang akan menerjah akaun esok melibatkan pelbagai kumpulan dalam perkhidmatan awam dan ia terbahagi kepada dua fasa iaitu pada bulan ini serta Januari tahun 2026.
Mereka yang terlibat merupakan dalam kumpulan pelaksana, pengurusan dan profesional.
Di Johor Bahru, seorang kakitangan awam pasukan keselamatan, Muhammad Saifulnizam, 24, berkata, dia telah dihubungi beberapa kali oleh scammer sejak dua minggu lalu yang cuba mencari helah untuk menipu.
Katanya, dia hairan bagaimana scammer boleh mendapat nombor telefonnya. “Boleh katakan dua hari sekali mereka akan hubungi saya menggunakan nombor berlainan yang tidak dikenali.
“Saya jawab kerana ingatkan rakan atau kenalan tukar nombor tetapi apabila mereka guna taktik perlu bayar parcel, kad bank disekat sebab gubah wang haram dan surat mahkamah sebab tak bayar hutang, saya terus letak sebab tahu itu scammer,” katanya.
Seorang lagi penjawat awam bahagian pendidikan, Haslan Mohamad, 37, berkata, dia ada juga menerima panggilan tak kira masa daripada scammer.
“Setiap masa mereka berusaha mencuri duit kita. Taktik yang digunakan sama ada bayar parcel, pinjam duit dan sebagainya.
“Saya pernah tertipu ingatkan kawan mahu pinjam wang tetapi scammer. Mujurlah jumlah bantuan itu tidak besar,” katanya.
Di Kuala Terengganu, Sharifuddin Ayob, 48, berkata, dia mula menerima mesej tawaran menyertai skim pelaburan dan pinjaman diragui menerusi WhatsApp dan Telegram sejak dua minggu lalu.
Katanya, scammer berjanji mahu memberikan pulangan lumayan sehingga 23 kali ganda dan jika rambang mata, seseorang itu akan terkena.
“Saya beringat selepas seorang rakan rugi puluhan ribu akibat ditipu dalam skim pelaburan palsu beberapa tahun lalu. Pinjaman peribadi pun banyak scammer cuba tawarkan dengan faedah amat rendah.
“Saya memang tak layan sebab tidak mahu tambah hutang lagi,” katanya.
Siti Jamilah Hanim Jamil, 40, pula mendakwa beberapa kali menerima panggilan individu tidak dikenali mendakwa kononnya akaun banknya digodam sejak awal bulan ini.
“Dia buat suara garang dakwa kononnya akaun bank saya teribat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
“Sudah tentu saya tidak percaya kerana pernah dengar modus operandi ini di media. Sekarang saya naik takut dan tidak mahu menjawab panggilan daripada nombor tidak dikenali lagi,” katanya.
Di Ipoh, Khairul Ali Rosman, 29, berkata, dia biasanya dihubungi individu yang mendakwa bekerja dengan bank untuk membuat pinjaman peribadi setiap kali hari gaji.
“Mereka akan aktif apabila tiba hari gaji. Scammer tak berputus asa walaupun tidak dilayan.
“Saya tahu scammer sebab mereka akan sambungkan panggilan kepada individu lain sama seperti modus operandi yang dimaklumkan pihak berkuasa,” katanya.
Nur Munirah Azmeer, 38, pula berkata, dia fobia setiap kali hari gaji tiba kerana telefonnya pasti berdering-dering dengan panggilan scammer.
“Mereka tahu maklumat peribadi dan biasanya mereka menyamar sebagai pegawai hasil dalam negeri,” katanya.



























.jpeg)
