Oleh MOHD AZLI ADLAN
DUNGUN – Umat Islam di negara ini dinasihatkan agar tidak terjebak dengan ajaran sesat yang boleh merosakkan akidah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, golongan itu sepatutnya berpegang teguh dengan ajaran Islam sebenar berpandukan al-Quran dan hadis.
“Kita hendaklah mendukung kepada fatwa yang telah dikeluarkan MKI (Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia) dan majlis agama Islam negeri-negeri.
“Ajaran sebenar ialah ajaran yang mengikut al-Quran dan hadis, ijmak serta qiyas. Kenapa pergi ke ajaran-ajaran tidak sahih, ini perlu dielakkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Santuni Kasih Ramadan di Bandar Al Mutafi Billah Shah di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan gerakan menghidupkan semula ajaran Ayah Pin oleh pengikut-pengikut setianya di Kampung Batu 13, Hulu Dungun.
Kosmo! hari ini melaporkan umat Islam di Terengganu bimbang dengan dakwaan percubaan untuk menghidupkan semula ajaran sesat ‘Ayah Pin’ atau ‘Kerajaan Langit’ yang sebelum ini bertapak di Kampung Batu 13, Hulu Besut.
Pejabat Agama Islam Daerah Besut telah mengeluarkan amaran tentang penyebaran ajaran sesat tersebut di masjid-masjid seluruh daerah tersebut pada Jumaat lalu.
Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sebagai sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 pada tahun 1997. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment