Translate

Saturday, March 23, 2024

Kemusnahan infrastruktur akibat banjir tengkujuh sedang dibaiki

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Kerajaan sedang membaiki kerosakan termasuk infrastruktur yang musnah akibat bencana banjir musim tengkujuh baru-baru ini melibatkan kerugian dianggarkan hampir RM1 bilion.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerja-kerja pembaikan itu sedang dilaksanakan agensi-agensi kerajaan seperti di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Pemulihan (kerosakan akibat banjir) sedang dilakukan dengan segera bergantung kepada agensi berkenaan.

“Pembaikan rumah dan bantuan kepada mangsa banjir pula telah diagihkan oleh Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) kepada jawatankuasa banjir negeri dan daerah,” katanya di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini semalam.

Terdahulu beliau ditemui pada majis Santuan Kasih Ramadan bersama warga Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid menegaskan bantuan banjir musim tengkujuh pada tahun ini perlu diagihkan secara serata kepada semua mangsa yang layak.

Beliau tidak mahu berlaku lagi mangsa banjir yang layak keciciran kerana tidak disenaraikan oleh sesetengah jawatankuasa negeri dan daerah.

“Ada yang sepatutnya menerima tidak disenaraikan mungkin warna politiknya berbeza dan ini perlu dielakkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment