KUALA TERENGGANU – Impian seorang lelaki untuk menerima komisyen keseluruhan RM30,700 setelah melakukan pekerjaan sambilan sebagai ejen pembelian dalam talian lebur apabila diperdaya sindiket penipuan pekerjaan palsu baru-baru ini.
Komisyen tersebut sepatutnya diterima mangsa berusia 24 tahun setelah melakukan tugasan diminta pengendali sebuah akaun Instagram sejak 26 Februari lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, lelaki yang bekerja sendiri tersebut mendakwa tertarik dengan tawaran kerja sambilan berkenaan yang dilihatnya menerusi akaun media sosial itu pada 24 Februari lalu.
“Tugasannya mudah iaitu menjadi ejen pembelian barang atas talian dengan hanya perlu menekan pautan diberi.
“Setiap transaksi yang berjaya dilakukan dijanjikan komisyen 10 peratus,” katanya di sini hari ini.
Mazli berkata, pada mulanya, mangsa menerima komisyen dijanjikan setelah berjaya melakukan dua tugasan diarahkan pengendali akaun media sosial terbabit.
Begitupun, beliau berkata, baki komisyen untuk enam tugasan berikutnya tidak dibayar dengan pelbagai alasan diberi suspek.
“Mangsa yang menyedari tertipu telah membuat laporan polis. Siasatan awal percaya suspek disyaki memang sengaja menunaikan janji membayar komisyen untuk tugasan awal bagi mengaburi mangsa sebelum memperdayakannya.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan pekerjaan palsu,” katanya. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment